Bernama.com (Malaysian
National News Agency), 31 July 2006
PKS perlu manfaat kepelbagaian
bio
SYARIKAT perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan
perlu memanfaatkan kepelbagaian bio Malaysia untuk membangunkan
industri herba sebagai produk eksport, kata Timbalan
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ng Lip
Yong.
Langkah itu, katanya, akan mengurangkan aliran keluar
pertukaran asing kerana ketika ini Malaysia mengimport
produk berkenaan bernilai hampir RM6 bilion setahun
kerana syarikat PKS tempatan ketika ini hanya terbabit
dalam aktiviti tambah nilai rendah.
Beliau berkata demikian pada ‘Program Industri’
yang dianjurkan bersempena Persidangan Antarabangsa
bagi Kesihatan Wanita dan Ubatan Tradisional Asia (WHAT)
kedua, di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Katanya, pasaran tempatan bagi produk berasaskan herba
termasuk makanan tambahan kesihatan, herba tradisional,
kosmetik dan minyak wangi dianggar bernilai RM6.2 bilion
setahun, tetapi lebih 85 peratus produk itu diimport.
Dengan produk berasaskan herba seluruh dunia dianggarkan
bernilai AS$80 bilion (RM303 bilion), Ng berkata, ia
berpotensi besar bagi Malaysia untuk menjadi peserta
utama dalam pasaran ini.
“Di Malaysia, pengeluaran ubatan tradisional
dan herba yang kebanyakannya diusahakan PKS terhad hanya
kepada memproses bahan mentah tumbuhan kering menjadi
serbuk herba atau dalam proses penapaian untuk menghasilkan
tonik ubatan,” katanya.
Ng berkata, kerajaan mengenal pasti industri itu sebagai
bahagian pertumbuhan berpotensi bagi PKS di bawah Pelan
Induk Perindustrian Ketiga (PIP3).
“Saya harap dapat melihat PKS yang terbabit dalam
industri ini menaik taraf teknologi mereka ke tahap
lebih tinggi bagi memaksimumkan nilai potensi produk.
“Dengan menaik taraf kepakaran dan teknologi
mereka, ia akan meningkatkan industri eksport yang boleh
membawa kepada penggantian eksport yang ketara,”
katanya.
Beliau berkata, PKS juga perlu memanfaatkan pengetahuan
tempatan dalam ubatan tradisional dan pelengkap dalam
usaha membangunkan peneraju bagi industri farmaseutikal
dan nutraseutikal.
Ng juga berkata, kerajaan menggalakkan syarikat Malaysia
menggunakan bioteknologi dalam inovasi dan pembangunan
produk dan rawatan penjagaan kesihatan yang lebih baik.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan pelaburan besar
yang diperlukan untuk melaksanakan seluruh proses inovasi
kepada pengkomersialan, syarikat Malaysia disarankan
memajukan produk khusus bahagian strategik dalam rantaian
nilai industri.
Sehubungan itu, beliau berkata, pelbagai agensi kerajaan
seperti Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana
(Smidec), Sirim Bhd dan Perbadanan Pembangunan Teknologi
Malaysia (MTDC) akan membantu peserta tempatan dari
segi menyediakan insentif cukai dan geran. – Bernama |