Utusan Malaysia,
31 July 2006
Dilema usahawan bioteknologi
tempatan
Oleh AMRAN AHMAD
 |
| Muhammad Sufi Mahbub. |
KUALA LUMPUR 30 Julai – Benarkah kita mampu menghasilkan
‘penemuan’ perubatan yang bertaraf dunia?
Persoalan ini seringkali ditimbulkan apabila terdapat
anak tempatan mendakwa telah mencapai kejayaan dalam
usaha mereka.
Tetapi, melihat kepada apa yang dicapai oleh pakar
saintis tempatan dalam pelbagai bidang sejak akhir-akhir
ini, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Namun begitu,
kecurigaan terhadap keupayaan anak tempatan telah merumitkan
usaha mendapat dana dalam mengkomersialkan hasil kejayaan.
Tambahan pula, dana yang ditagih mencapai berbilion
ringgit.
Senario inilah yang dihadapi oleh firma bioteknologi
tempatan, GenomeLife Sdn. Bhd. yang mendakwa berjaya
membangunkan super antibiotik yang mampu merawat 120
jenis penyakit dan lapan jenis kuman melalui kaedah
permakanan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Sufi Mahbub,
pihaknya kini memerlukan RM2 bilion untuk memajukan
produknya secara komersial dan langkah terakhir sekiranya
gagal berpindah ke Amerika Syarikat mencari pembiayaan.
Beliau berkata, pihaknya boleh mengambil langkah drastik
untuk ke luar negara atau menjualnya sahaja tetapi bukankah
faedah lebih besar jika penemuan itu dipegang haknya
oleh rakyat Malaysia.
‘‘Kami telah mencuba mendapat pembiayaan
dalam negara seperti menemui Khazanah Nasional dan Majlis
Amanah Rakyat (MARA) tetapi malangnya gagal. Namun begitu,
kami tidak berputus asa kerana yakin produk kami berpotensi,”
kata beliau.
GenomeLife, dengan kerjasama saintis tempatan yang
diketuai oleh Profesor Dr. Rahim Md. Noah, telah memajukan
super antibiotik daripada bahan semulajadi dikenali
sebagai immunogenic lipopeptid yang dinamakan sebagai
Kovex.
Muhammad Sufi mendakwa, berdasarkan kajian mikro organisme
yang dibahagikan kepada 100 jenis, setiap satunya mempunyai
nilai hak harta intelektual lebih ratusan bilion ringgit.
Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha menemui Permodalan
Nasional Bhd. (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) dan beberapa firma pelaburan lain sebagai langkah
terakhir mendapat dana.
Sambil menyatakan pihaknya berharap diberikan penilaian
yang adil, Muhammad Sufi menambah: ‘‘Pernah,
kami diberikan masa hanya lima minit untuk membuat perbentangan,
bagaimana mungkin ia dilakukan apabila apa yang kami
tawar melibatkan satu penemuan sains.”
Ditanya mengenai pilihan lain, beliau berkata, GenomeLife
mungkin juga menjual 100 Kovex yang dibangunkan olehnya
kepada firma gergasi farmaseutikal dunia termasuk Pfizer
yang berpusat di AS.
Muhammad Sufi berkata, pihaknya mungkin meneruskan
hasrat bagi menyenaraikan GenomeLife di Pasaran Saham
Nasdaq, Amerika Syarikat (AS) melalui syarikat usahasama
dengan firma AS, Sparta Matrix Inc.
Beliau menjelaskan, sejak memulakan aktiviti penyelidikan
pada tahun 1996, GenomeLife, sememangnya melaksanakan
penyenaraian di Papan Mesdaq, Bursa Malaysia tetapi
ia tidak mempunyai rekod pencapaian yang disyaratkan.
Ditanya mengenai keperluan dana berkenaan, beliau berkata,
sebahagian besar dana jika diperoleh akan digunakan
untuk melanjutkan proses penyelidikan, membangunkan
kelengkapan makmal, melakukan ujian klinikal dan melatih
modal insan.
Setakat ini, kata Muhammad Sufi, GenomeLife yang memiliki
dua syarikat bersekutu iaitu Neutralife Sdn. Bhd. dan
Bioneutraseutikal Sdn. Bhd., telahpun melabur RM3 juta.
|