Back to Media Room
 

Berita Harian, 19 March, 2007

Pensyarah UMP cipta mesin bahan ekstrak

KUANTAN: Sekumpulan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, berjaya mencipta Mesin Ekstrak Gelombang Ultrasonik Mudah Alih pertama seumpama di negara ini.

Mesin itu dicipta sekumpulan pensyarah UMP diketuai Ahmad Ziad Sulaiman yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ahmad Ziad kini melanjutkan pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang kejuruteraan di New Zealand. Ciptaan yang dihasilkan pada 2004 itu pernah meraih beberapa anugerah pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Ia termasuk Pingat Emas Pertandingan Reka Cipta di Geneva, Switzerland 2006; Pingat Emas Pameran Bio Asia 2005 dan Pingat Perak di Pameran Teknologi Maklumat 2005 (ITEX 2005), di Kuala Lumpur.

Mesin terbabit yang kini dalam proses dipatenkan boleh dimanfaat dengan mudah. Kaedah mengekstrak bahan mentah seperti vanila, halia dan misai kucing yang sudah dimesin halus dimasukkan ke dalam sistem gelombang ultrasonik.

Lebih membanggakan, hasil ciptaan anak watan itu bukan saja boleh diguna untuk mengekstrak bahan mentah, malah dengan alat itu bahan terbuang seperti minyak masak boleh diproses semula menjadi biodiesel.

Mesin yang disasarkan untuk pengusaha kecil dan sederhana itu memiliki ciri mesra pengguna, mudah, kos efektif dan menjimatkan tenaga.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Mohamed Said Mat Lela, berkata kejayaan kumpulan pensyarah terbabit menjadi kebanggaan universiti yang pada masa ini satu-satunya institusi pengajian tinggi teknikal di Pantai Timur.

"Alat ini mempunyai potensi pasaran yang cukup luas terutama dalam industri kosmetik, aromaterapi, perubatan, nutraceuticals dan kegunaan di institusi penyelidikan,” katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di Gambang, dekat sini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan alat berkenaan dapat dipasarkan dalam tempoh terdekat ini pada harga kira-kira RM250,000 seunit.

 
Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer