Berita Harian, June 27, 2008
RM483.4 juta untuk
kajian bioteknologi
SEHINGGA 30 April lalu, Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi menerima peruntukan RM483.4 juta bagi
melaksanakan projek penyelidikan dan pembangunan
dalam kajian sains biologi dan bioteknologi dalam
tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Menterinya, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili,
berkata daripada jumlah itu, kajian sains marin,
biodiversiti dan persekitaran menerima peruntukan
sebanyak RM4.6 juta, manakala kajian bioteknologi
sebanyak RM478.8 juta membabitkan RM141.2 juta untuk
bioperubatan dan RM74.1 juta dalam bidang
farmaseutikal atau biofarmasi.
Katanya, bidang lain dalam bioteknologi seperti
bioteknologi tumbuhan, makanan, haiwan, industri
bioteknologi dan bioteknologi persekitaran menerima
peruntukan RM263.55 juta.
"Kerajaan menyedari industri bioteknologi adalah
satu sumber baru bagi meningkatkan pertumbuhan
ekonomi negara. Oleh itu kerajaan menyusun strategi
pembangunan industri bioteknologi dengan melancarkan
Dasar Bioteknologi negara pada April 2005 lalu.
"Strategi kerajaan untuk meningkatkan saingan dalam
bidang sains bioteknologi ialah dengan mewujudkan
persekitaran yang merangsang dan menggalakkan
pertumbuhan industri bioteknologi melalui penubuhan
Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp)
sebagai pusat sehenti industri bioteknologi serta
memperkenalkan status dan konsep BioNexus," katanya.
Mengulas lanjut soalan M Manogaran (DAP-Telok Intan),
Maximus berkata, menerusi status BioNexus, sesuatu
syarikat antaranya akan menerima insentif cukai yang
menarik dan dana pengkomersialan (dana padanan
penyelidikan dan pembangunan (R&D) dana padanan
perniagaan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, konsep BioNexus membolehkan pusat
penyelidikan sedia ada digemblengkan untuk
melaksanakan aktiviti R&D yang boleh membantu
menjana ekonomi negara.
Katanya, bagi memastikan penyelidikan bioteknologi
lebih terarah dan fokus, kerajaan sedang
membangunkan tiga institut bioteknologi iaitu
Institut Genom Malaysia di Universiti Kebangsaan
Malaysia, Institut Agrobioteknologi di Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi)
serta Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal di
Universiti Sains Malaysia.
Maximus juga menafikan kenyataan Manogaran bahawa
Malaysia ketinggalan dalam bidang bioteknologi
berbanding Singapura, sebaliknya negara mendahului
negara lain di rantau ini.
Katanya, sehingga kini sebanyak 63 syarikat
diluluskan untuk status BioNexus dengan jumlah
pelaburan sebanyak RM1.28 bilion.
"Minggu lalu saya mengetuai delegasi Malaysia ke
Persidangan BIO 2008 di San Diego dan menyaksikan
kira-kira 10 perjanjian persefahaman bernilai RM1
bilion.
"Ini mencerminkan kemajuan kita dalam bidang ini
lebih mendahuli negara lain di rantau ini, khususnya
dalam bidang biodiversiti dan bioteknologi pertanian,"
katanya.
Menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang
menyuarakan kebimbangan kemungkinan paten flora dan
fauna dihasilkan oleh saintis asing, Maximus berkata,
kementerian akan memastikan geran bukan saja
diterjemahkan terhadap produk dan hasil daripada
inovasi, sebaliknya juga diterjemahkan kepada paten.
|
|