Berita
Harian, April 11, 2008
100,000 doktor falsafah
2010
Mohamed Khaled yakin IPT tempatan mampu lahir modal
insan bertaraf dunia
Oleh Mohamed Farid Noh
BANGI: Negara mampu melahirkan 100,000 doktor
falsafah atau kelayakan setaraf dalam pelbagai
bidang, termasuk bioteknologi menerusi institusi
pengajian tinggi (IPT) tempatan menjelang 2010, kata
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin.
Beliau berkata, keyakinannya itu berdasarkan
kewibawaan IPT tempatan memenuhi hasrat kerajaan
dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi dan
bertaraf dunia.
“Saya berkeyakinan penuh menjelang 2020, negara yang
diumumkan menjadi negara maju akan dapat mencapai
matlamat ditetapkan dalam Pelan Strategik Pengajian
Tinggi.
“Saya juga percaya kepemimpinan kemudahan serta
tenaga pengajar IPT yang berkaliber dan berpandangan
jauh akan mencapai matlamat ditetapkan itu dan
membawa kejayaan besar kepada Negara,” katanya
selepas menghadiri majlis taklimat tertutup serta
lawatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di
sini semalam.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Idris Haron dan Datuk
Dr Hao Kok Chung; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian
Tinggi, Prof Datuk Dr Hassan Said; Pengerusi Lembaga
Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Mazlan Haimd dan
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah
Syed Hasan Shahabudin.
Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai
negara mengalami kekurangan pakar serta penyelidik
dalam bidang bioteknologi kerana hanya mempunyai
3,400 penyelidik berbanding Singapura yang memiliki
16,700 tenaga pakar.
Sementara itu Mohamed Khaled berkata, kementerian
tidak akan meminta Jabatan Penuntut Malaysia (MSD)
di London meneruskan siasatan mengenai punca yang
mendorong Sufiah Yusof wanita yang pernah menjadi
pelajar pintar Matematik dan diterima masuk ke
Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun menjual
tubuh untuk menyara hidup.
”Apabila penelitian lanjut dilakukan kementerian,
kami mendapati ini bukan soal dia tidak cukup duit
untuk biayai pengajiannya dan sebagainya.
“Ini soal peribadi. Dia pun sudah lama tinggalkan
universiti dan tidak berkaitan dengan usahanya
menyambung pelajaran, jadi kami berasakan usaha itu
tidak perlu diteruskan,” katanya.
|