Berita
Harian, 11 March 2008
Perubahan iklim politik
tempatan tak jejas industri bioteknologi
MASYARAKAT perniagaan masih yakin dengan potensi
ekonomi negara di sebalik keputusan di luar jangkaan
pilihan raya Umum Ke-12 apabila Barisan Nasional
(BN) hanya memperoleh majoriti mudah.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM),
Syed Ali Alattas, berkata prospek ekonomi negara
masih kukuh dengan aktiviti perniagaan masih
berjalan seperti biasa.
Beliau berkata, tidak timbul perkara yang perlu
dibimbangkan memandangkan Malaysia mempunyai sumber
komoditi yang cukup besar untuk aktiviti perdagangan
dan perniagaan.
"Ekonomi Malaysia masih stabil dan aktiviti
perniagaan di negara ini masih baik. Saya yakin
tidak timbul soal kegagalan BN memperoleh kemenangan
majoriti dua pertiga," katanya ketika dihubungi
semalam.
Ketua Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation
(BiotechCorp), Iskandar Mizal Mahmood, berkata
perubahan yang berlaku dalam iklim politik tempatan
ketika ini tidak akan memberi impak terhadap
pelaburan dalam industri bioteknologi.
"Saya tidak lihat akan ada sebarang isu lahir
daripada perubahan itu akan memberi kesan terhadap
industri," katanya.
Beliau menambah, dalam tempoh terdekat ini tidak
nampak sebarang kesan ketara yang boleh menjejaskan
industri, malah yakin mampu mencapai sasaran 70
syarikat mencapai status BioNexus sebelum akhir
tahun ini.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan
Malaysia (Rehda), Ng Seing Liong, berkata persatuan
itu berasakan hanya akan berlaku sedikit kesan
kurang baik terhadap ekonomi dan negara dalam jangka
sederhana hingga panjang.
"Walaupun ramai yang terkejut dengan keputusan itu (pilihan
raya 2008), ia dijangka memberi sedikit saja kesan
kurang baik terhadap ekonomi dan negara dalam jangka
sederhana hingga panjang," katanya dalam satu
kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata, untuk memastikan
ekonomi terus stabil, adalah menjadi tanggungjawab
parti yang dipilih untuk meningkatkan daya saing
negara, terutama dalam memastikan kecekapan sistem
penyampaian awam.
Katanya, usaha dalam perkara itu akan memberikan
kesan baik terhadap ekonomi dan meningkatkan imej
negara sebagai destinasi pelaburan asing.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Rating Agency Malaysia
Bhd, Dr Yeah Kim Leng memberitahu Bernama, asas
ekonomi negara tidak berubah dan ketidakpastian
terhadap senario politik akan beransur hilang sebaik
saja 'parti pemerintah menjalankan tanggungjawab
mereka dan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang
ditubuhkan.'
"Ketidakpastian politik meningkat, tetapi ia hanya
untuk tempoh sementara," kata Yeah.
|