Berita Harian,
17 Julai 2006
100 syarikat mampu komersial
produk bio
Oleh Suffian A Bakar

PERBADANAN Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), agensi
yang bertanggungjawab merealisasikan objektif bioteknologi
negara, mengenal pasti 100 syarikat berpotensi menjadi
pengeluar produk bioteknologi secara komersial.
Ketua Eksekutifnya, Iskandar Mizal Mahmood, berkata
daripada syarikat yang dikenal pasti itu, 63 sedang
mendapatkan bantuan BiotechCorp.
Beliau berkata, selain membantu syarikat tempatan terbabit
memulakan perniagaan, BiotechCorp juga memberikan khidmat
nasihat mengenai sumber terbaik kepada keperluan individu,
serta opsyen bagi kemudahan dan infrastruktur termasuk
pelesenan.
“Kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan
lain bagi membolehkan mereka mendapat bantuan pembiayaan
atau geran bersesuaian,” katanya pada satu temu
bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Iskandar Mizal berkata, BiotechCorp juga mendapat peruntukan
RM100 juta untuk disalurkan sebagai Geran Komersial
kepada syarikat baru beroperasi tetapi belum lagi bertapak
kukuh.
Antara program pembangunan BiotechCorp termasuk pengambilalihan
teknologi dengan peruntukan sebanyak RM100 juta dan
perkara berkaitan harta intelek, katanya.
Menyedari bioteknologi sering kali disalah faham, beliau
berkata BiotechCorp sedang merangka mengadakan forum
bagi membolehkan orang ramai lebih memahami mengenai
bioteknologi.
“Imaginasi spontan kita apabila memperkatakan
mengenai bioteknologi ialah saintis berbaju putih di
makmal dengan tabung uji mengandungi pelbagai virus.
“Ia sebenarnya lebih daripada itu. Apa yang kita
buat di BiotechCorp ialah membantu rakyat Malaysia mengkomersilkan
idea.
“Berapa orang sangatlah yang tahu siapa mencipta
komputer peribadi, tetapi bila sebut saja nama Apple,
IBM, Acer atau HP ramai yang tahu.
“Apple, IBM, Acer dan HP telah berjaya mengkomersialkan
komputer peribadi,” katanya.
Bioteknologi adalah platform teknologi dan sains yang
menyediakan pendekatan pelbagai disiplin tercanggih
kepada pembangunan ekonomi pengetahuan.
Bioteknologi telah dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan
Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Beliau berkata, kerajaan mensasarkan bioteknologi menyumbang
2.5 peratus kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) negara menerusi fasa pertama pelaksanaan dasar
bioteknologi negara untuk tempoh 2005-2010 dengan nilai
pengeluaran antara RM45 bilion hingga RM3.145 trilion.
|