Utusan Malaysia, 11 September 2007
Inno Bio-Avestha meterai kontrak klinikal RM7j
Oleh: KAMARULZAIDI KAMIS
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Syarikat bioteknologi tempatan, Inno Biologics Sdn. Bhd. (Inno Bio) akan memeterai perjanjian kontrak pengeluaran barangan klinikal dengan Avestha Gengraine Techonologies Pvt. Ltd. (Avestha) melibatkan pelaburan bernilai lebih RM7 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia (MBC), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, kontrak dengan syarikat ternama dari India itu menjadi mercu tanda kejayaan Dasar Bioteknologi Nasional (DBN) kerana Inno Bio ialah antara kumpulan pertama tujuh syarikat yang mendapat status Bio Nexus di bawah dasar tersebut.
‘‘Perjanjian tersebut melambangkan kejayaan awal hasrat kerajaan dan MBC dalam membangunkan sektor bioteknologi negara,’’ katanya kepada Utusan Malaysia selepas Persidangan Keusahawanan Bioteknologi, dua hari di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avestha, Bruce Murdoch berkata, pihaknya amat yakin dengan kemampuan syarikat bioteknologi Malaysia, terutamanya Inno Bio untuk mengeluarkan barangan klinikal milik syarikatnya.
Murdoch berkata, untuk tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, Avestha akan memberi hak proses pengeluaran barangan klinikal kepada Inno Bio secara berperingkat-peringkat dan pengeluaran sepenuhnya akan bermula pada tahun depan di kilangnya di Nilai, Negeri Sembilan.
Murdoch berkata, barangan yang dikeluarkan oleh Inno Bio itu akan dieksport semula kepada Avestha di India.
Beliau yakin syarikat-syarikat bioteknologi Malaysia akan berkembang pesat kerana mendapat sokongan kerajaan.
“Kerajaan Malaysia amat serius ingin membangunkan sektor bioteknologi dan ini membuatkan kami yakin kepada Malaysia dan syarikat-syarikat di sini,” katanya.
Avestha merupakan syarikat bioteknologi yang ditubuhkan pada 1998 di Bangalore, India dan mengeluarkan pelbagai produk bioteknologi termasuk biofarmaseutikal, bionutrisi dan biopertanian.
“Pada peringkat awal penubuhannya, pusing ganti Avestha adalah kira-kira RM35 juta dan pada tahun ini kami yakin dapat menggandakannya kepada RM70 juta,” tambahnya.
Sementara itu, Iskandar berkata, status BioNexus diberi kepada syarikat-syarikat tempatan yang terlibat dalam industri bioteknologi dengan insentif seperti pengecualian cukai, geran penyelidikan dan pelbagai sokongan yang digariskan di bawah DBN.
Antara kumpulan tujuh syarikat awal yang memperoleh status tersebut termasuk Malaysian Bio-Diagnostic Research Sdn. Bhd., KL Biotech Manufacturing Sdn. Bhd., Vivantis Technologies Sdn. Bhd., Nova Laboratories Sdn. Bhd., IPT Kosmo Sdn. Bhd., Asiatic Centre for Genome Technology Sdn. Bhd. dan Inno Biologics Sdn. Bhd.
|