Back to Media Room
 

Utusan Malaysia (Rencana), 15 Mei 2007

Cabaran besar biotek

Oleh ZAINI HASSAN (Yang membuat liputan lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Konvensyen Antarabangsa Industri Bioteknologi (BIO 2007) di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat 5-8 Mei lalu)

Orang ramai mengunjungi Konvensyen Antarabangsa BIO 2007 di Boston baru-baru ini. – AP.

BUKAN skeptikal, juga bukan was-was, tapi realitinya industri bioteknologi dunia masih belum nampak hala tujunya yang jelas. Masa depannya masih samar-samar.

Ini adalah rumusan (bukan saintifik – penulis) daripada BIO 2007 di Boston, Amerika Syarikat (AS) yang menyediakan ruang kepada pelbagai forum, perbincangan, lampas otak dan ada juga dikenali sebagai sesi super dengan kapten-kapten industri itu. Kira-kira 20,000 pakar, usahawan, cendekiawan dan ahli politik dari negara maju sehinggalah ke negara dunia ketiga mengerumuni bandar raya ilmu itu selama empat hari minggu lalu.

Malaysia tidak terkecuali. Malah, ia membawa kontinjen terbesar dari luar tanah Amerika Utara (AS dan Kanada) ke situ, iaitu sekitar lebih 300 orang. Yang menariknya, sebuah hotel iaitu Marriott Copley, yang terletak di kawasan mewah Boston dijajahi oleh orang Malaysia. Masing-masing bersemangat dan dari raup wajah menunjukkan mereka datang ke situ untuk menimba sesuatu, iaitu ilmu dan pengalaman dalam bidang bioteknologi. Mereka juga bukan calang-calang orang. Mereka terdiri daripada golongan saintis yang membuat pelbagai penyelidikan kimia, biologi, biodiversiti, kejuruteraan genetik, alam sekitar sehinggalah kepada ahli-ahli akademik dan peneraju pusat pengajian tinggi. Mereka datang ke situ dengan pelbagai fikiran.

‘‘Kami mahu menjalinkan hubungan dengan Universiti Harvard,’’ kata Datuk Zulkifli Abdul, Pengerusi Universiti Kuala Lumpur – sebuah universiti yang khusus dalam bidang kejuruteraan di ibu kota.

Pada wajahnya di hari akhir sebelum berlepas pulang – ke destinasi Beijing pula untuk urusan lain – Datuk Zul kelihatan yakin misinya ke Boston berhasil.

Seperti Datuk Zul, yang lain-lain juga nampaknya gembira dengan penyertaan mereka yang dikepalai oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis. Jamaludin, atau lebih popular dikenali sebagai Datuk JJ begitu komited dengan bidang itu. Beliau yang menjadi penghulu Malaysia sepanjang konvensyen itu telah memastikan semua persiapan teratur dan para peserta mendapat sesuatu daripada konvensyen ini.

‘‘Saya mahu pastikan ia berbaloi kepada mereka semua, khususnya kepada negara,’’ katanya kepada para wartawan.

Walaupun rata-rata yang datang ke konvensyen itu menimba ilmu yang banyak, ilmu yang ditimba itu juga banyak membuka mata bahawa bidang baru ini harus dilihat secara lebih berhati-hati. Malaysia harus bijak meneroka bidang ini supaya – tidak kelihatan terlalu bendol atau naif – sebaliknya mencari jalan lain – yang lain daripada lain – untuk lebih dihormati dan disanjungi dalam bidang ini.

Kita jangan terus lompat masuk ke arus deras yang di dalamnya telah ada pemain yang lebih gagah dan kuat, kerana dikhuatiri kita akan diketepikan ke tebing atau ditolak ke jeram dan gagal menongkah arus perdana yang laju itu.

‘‘Kita perlu mencari satu niche,’’ kata Profesor Datuk Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin – seorang pakar perubatan, bekas naib canselor universiti dan kini pengarah sebuah universiti baru di Kuala Lumpur, iaitu United Nations University.
Kata-katanya tepat sekali. Keesokan harinya, dalam satu sesi super yang dihadiri beberapa pakar dalam bidang ini mereka menyatakan kebimbangan yang sama.

‘‘Kita tidak mahu 2,000 lagi syarikat farmaseutikal muncul. Cukuplah apa yang ada sekarang. Bebanan kewangannya sudah cukup hebat. Jika tumbuh lagi syarikat-syarikat lain, mana hendak cari modal?’’ kata seorang ahli panel sesi itu semasa membicarakan mengenai tajuk ‘‘Melabur dalam Biotek: Apa yang berlalu dan apa yang tidak berlaku dalam tempoh dua dekad ini.”

Persoalannya, apakah Malaysia juga mahu turut serta dalam satu daripada 2,000 syarikat itu?
Namun hakikatnya, bidang bioteknologi, bioperubatan, biodiversiti bukanlah semata-matanya soal penyelidikan dalam makmal. Ia lebih daripada itu. Ia melibatkan soal kapitalisme, perniagaan, untung rugi, soal modal teroka dan pelbagai soal lain melibatkan terlalu banyak wang ringgit – soal membuat duit.

Siapa yang boleh menandingi pihak lain, dialah yang menang, dialah yang untung dan dialah yang akan menguasai pasaran. Siapa yang gagal, dia akan lingkup. Itulah hakikat dalam dunia bioteknologi sekarang. Siapa yang gagah saja boleh berlumba dalam bidang ini.
Siapa yang boleh mendahului orang lain menemui penawar AIDS, misalnya, atau kanser atau vaksin melanjutkan umur melepasi 100 tahun misalnya, akan menjadi juara.

Modalnya pula sudah tentu terlalu besar. Satu penyelidikan yang dijalankan ke atas sesuatu kajian – yang hasilnya tiada diketahui penghujungnya – melibatkan sejumlah wang yang besar. Oleh itu, ia harus dijalankan secara bijak, berhemah, berintegriti dan dengan sikap kerahsiaan yang cukup tinggi.

Dalam dunia perniagaan, seperti juga politik, semuanya bukan lancar, bukan bersih. Ia penuh dengan duri dan ranjau yang perlu dilalui. Itulah nasihat yang diberikan oleh seorang kapten dalam bidang bioteknologi pada sesi super itu.

Senario di atas adalah satu pandangan yang sedang bermain dalam bidang ini. Sama ada wang menguasai sains atau sebaliknya ia boleh dilihat sekarang. Ada pihak mungkin melihatnya dengan jelas, tapi para pejuang kemanusiaan, misalnya, melihat sebaliknya.

Sebab itulah semasa bermulanya konvensyen itu, sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun menyatakan kebimbangan mereka mengenai fenomena wang menguasai sains ini, kerana bimbang penyelidikan yang dijalankan akan mengatasi soal tataetika. Bagi kita orang Islam, bahasa mudah mengenai kebimbangan itu ialah apabila sains mencabar keesaan Allah s.w.t.

Kita percaya Malaysia tidak akan tersasar daripada soal itu. Sebab itulah Malaysia telah merangka Dasar Bioteknologi Negara dengan jelas supaya unsur-unsur itu tidak menguasai ilmu penyelidikan yang nyata dan bertanggungjawab.

Najib, yang diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri mengetuai jawatankuasa Kabinet mengenai bioteknologi berkata, penyertaan Malaysia di BIO 2007 itu mempunyai tiga tujuan selaras dengan agenda Dasar Bioteknologi Negara.

Pertama, mengenal pasti apakah aliran perkembangan industri bioteknologi dan sains hayat di dunia, kedua, untuk mengetahui dan mengenal pasti bagaimana meletakkan Malaysia dalam rangkaian nilai bioteknologi dunia (Global Biotechnology Value Chain) dan ketiga untuk mempercepatkan (fast track) pembangunan dan perkembangan industri itu dan kaedah serta cara-cara terbaru yang boleh dilakukan.

‘‘Alhamdulilah, nampaknya dalam lawatan ini kita telah dapat memenuhi ketiga-tiga objektif itu antaranya trend melihat kepada industri personalized medication, atau ubat yang dihasilkan atas keperluan seseorang individu,’’ katanya pada sidang akhbar kepada wartawan Malaysia selepas menemui sekumpulan profesor Harvard di universiti itu.

Selain itu, katanya, industri yang paling pesat berkembang sekarang ialah perkembangan untuk menyediakan preventive medication, atau ubat-ubatan bagi pencegahan penyakit dan bukannya untuk mengubati semata-mata.

BIO 2008 seterusnya akan diadakan di San Diego, AS. Sehingga ke tahun depan, pastikan rumusan hasil BIO 2007 itu diketahui

 

Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer