Back to Media Room
 
Harian Metro, May 30, 2008

Potensi bioteknologi – BiotechCorp optimis industri bakal jana RM1.3 bilion kepada KDNK

Oleh: Noor Azam Abd Aziz
azam@metro.com.my

MALAYSIAN Biotechnology Corp (BiotechCorp), syarikat ditubuhkan kerajaan bagi menerajui industri bioteknologi tempatan yakin industri berkenaan mampu menyumbang RM1.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata program Latihan Khas Keusahawanan Bioteknologi (BeST) yang diperkenalkan syarikat berkenaan kini mula melahirkan usahawan bagi industri bioteknologi negara.

Menurutnya, usahawan itu memiliki pelbagai pengetahuan menerusi program pembangunan bakat yang menggabungkan latihan dalam kelas, kerja, makmal dan latihan industri bioteknologi.

“Kami melihat potensi bidang ini amat besar serta yakin ia akan terus berkembang dan pada 2020 negara berada pada kedudukan untuk mencapai sasaran lima peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis graduasi pengambilan 2007/2008 program BeST di Kuala Lumpur, semalam.

Iskandar Mizal berkata cabaran modal insan dalam industri tidak berubah malah menjadi semakin kritikal.

Beliau berkata industri berkenaan bukan baru kepada Malaysia memandangkan bioteknologi dilaksanakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia untuk penyelidikan pertanian menyediakan landasan bagi mengembangkan industri.

Menurutnya, industri itu kini mencatatkan paras tertinggi dalam perolehan, meneroka pembiayaan dan nilai janji niaga serta pasaran bioteknologi AS melebihi AS$80 bilion (RM248 bilion) dalam perolehan tahun lalu untuk pertama kali dalam sejarah.

Iskandar Mizal berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan jumlah peserta dalam pengambilan akan datang berikutan permintaan menggalakkan daripada graduan yang berminat.
Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer