Back to Media Room
 
Berita Harian, May 30, 2008

Program BeST lahir ramai usahawan

MALAYSIAN Biotechnology Corp (BiotechCorp) memulakan program Latihan Khas Keusahawanan Bioteknologi (BeST), sejajar usaha mencapai sasaran sumbangan lima peratus daripada industri bioteknologi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata industri itu menyumbang RM1.3 bilion kepada KDNK dari segi pelaburan yang mana kurang daripada satu peratus.

“Namun bagi masa depan, industri akan terus berkembang dan menjelang 2020, kita berada pada kedudukan untuk mencapai lima peratus dan apahila program BeST membangunkan lebih banyak modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis graduasi bagi pengambilan 2007/2008 program BeST di Kuala Lumpur semalam.

Iskandar Mizal berkata, pengambilan 2008/2009 yang dijadualkan dilaksanakan Julai ini, mensasarkan kira–kira 200 peserta dengan pengambilan berikutnya 2009/2010 dijangka menyaksikan pertambahan 50 peratus.

Program BeST menyaksikan 154 daripada 206 graduan mendapat tawaran dengan syarikat BioNexus, syarikat multinasional, tempatan serta institut penyelidikan, manakala baki 52 berjaya memperoleh pekerjaan.

Menurut BiotechCorp, graduan berkenaan berpeluang meraih pengetahuan daripada program pembangunan bakat yang distruktur menggabungkan latihan dalam kelas, kerja, makmal dan latihan industri melalui program BeST.

Menyifatkan bioteknologi sebagai industri berpotensi tinggi, Iskandar Mizal berkata, cabaran modal insan dalam industri kekal tidak berubah, malah menjadi semakin kritikal.

Katanya, industri berkenaan bukan baru kepada Malaysia memandangkan bioteknologi dilaksanakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia untuk penyelidikan pertanian, menyediakan platform untuk mengembangkan industri.

Beliau berkata, industri kini berkembang pesat dengan mencatatkan paras tertinggi dalam pendapatan, meneroka pembiayaan dan nilai janji niaga serta pasaran bioteknologi AS melebihi AS$80 bilion (RM248 bilion) dalam pendapatan tahun lalu untuk pertama kali dalam sejarah.
Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer