Kosmo, May 30, 2008
Bioteknologi sedia
sumbang 5 peratus KDNK
KUALA LUMPUR – Bagi mencapai sasaran sumbangan lima
peratus daripada industri bioteknologi kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020,
Malaysian Biotechnology Corp (BiotechCorp) telah
memulakan program Latihan Khas Keusahawanan
Bioteknologi (BeST).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Iskandar Mizal
Mahmood berkata industri itu telah menyumbang RM1.3
bilion kepada KDNK dari segi pelaburan yang kurang
dari satu peratus.
“Tetapi bagi masa depan industri akan terus
berkembang dan menjelang 2020 kita berada pada
kedudukan untuk mencapai lima peratus dan apabila
program BeST membangunkan lebih banyak modal insan,”
kata beliau kepada pemberita selepas majlis graduasi
bagi pengambilan 2007/2008 program BeST di sini
semalam.
Menurut Iskandar Mizal, pengambilan sesi 2008/2009
yang dijadualkan dilaksanakan pada Julai ini,
menyasar kira kira 200 peserta dengan pengambilan
berikutnya untuk sesi 2009/2010 dijangka menyaksikan
kenaikan 50 peratus.
Program BeST menyaksikan 154 dari 206 graduan
mendapat tawaran dengan syarikat BioNexus, syarikat
multinasional, tempatan serta institut penyelidikan
manakala baki 52 berjaya memperoleh pekerjaan.
Graduan berkenaan berpeluang meraih pengetahuan
daripada program pembangunan bakat yang di struktur
menggabungkan latihan dalam kelas kerja makmal dan
latihan industri melalui program BeST demikian
menurut BiotechCorp.
Semasa menyifatkan bioteknologi sebagai industri
berpotensi tinggi, Iskandar Mizal memberitahu,
cabaran modal insan dalam industri kekal tidak
berubah, malah menjadi semakin kritikal.
Beliau menambah, industri berkenaan bukan baru
kepada Malaysia memandangkan bioteknologi telah
dilaksanakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan
Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian
Malaysia untuk penyelidikan pertanian menyediakan
platform untuk mengembangkan industri. |
|