Bernama, Julai 28, 2008
USM Tandatangani
Perjanjian Perkongsian Dengan BiotechCorp
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Universiti Sains
Malaysia (USM) menandatangani satu perjanjian
perkongsian baru-baru ini dengan Perbadanan
Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) ke arah
penyelidikan dan pembangunan nanoteknologi tinggi.
Mengikut perjanjian itu, seramai tiga penyelidik USM
akan menjalani latihan selama 12 bulan di Peranchis
untuk menggiatkan lagi R&D untuk industri
bioteknologi Malaysia, demikian menurut BiotechCorp
dalam satu kenyataan.
"USM telah dipilih sebagai rakan kongsi kami di
dalam inisiatif ini sejajar dengan rekod prestasinya
yang mantap dalam kerja penyelidikan secara bersama,"
kata Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk
Iskandar Mizal Mahmood.
"Kami gembira dapat memberikan komitmen kepada
perjanjian ini memandangkan program pemindahan
teknologi akan merangkumi maklumat teknikal,
pengetahuan, teknik pengeluaran, data kejuruteraan,
spesifikasi bahan dan maklumat proprietari utama
secara komersil yang lain kepunyaan Nanobiotix
S.A(NBTX) dari Peranchis," kata Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Dzulkifli Abdul
Razak.
Pada 2007, BiotechCorp menandatangani perjanjian
pemindahan teknologi dan pelesenan dengan NBTX, di
mana mereka menguasai lesen eksklusif di seluruh
dunia bagi platform nanoteknologi.
"Kerjasama dalam hal sebegini tidak dijalankan atas
asas jangka pendek. Menyedari hakikat ini, USM akan
memastikan dalam tempoh tidak lebih daripada 12
bulan selepas para penyelidik pulang, satu program
yang sama akan dikendalikan bagi membolehkan
penyelidik lain menguasai kemahiran dan pengetahuan
yang dipindahkan lebih awal," kata Dzulkifli.
Hasil latihan adalah bagi USM membangunkan dua
aplikasi produk yang mempunyai nilai komersil yang
tinggi minimum setahun bagi tempoh empat tahun
menjadikan jumlahnya lapan aplikasi produk yang
bernilai komersil tinggi dalam empat tahun.
Sebagai pulangannya, kesemua hak harta intelek
terhadap penambahbaikan, peningkatan dan inovasi
yang dibangunkan sendiri oleh USM seharusnya akan
menjadi hak milik USM.
Pada Bio San Diego 2008 yang diadakan awal bulan ini,
rakan kongsi antarabangsa BiotechCorp menekankan
tentang beberapa tindakan utama yang penting yang
perlu diambil bagi menyokong cita-cita Malaysia
untuk menjadi hab bioteknologi global.
Satu daripada tindakan utama yang dicadangkan ialah
keperluan yang mendesak untuk mewujudkan satu
program inovatif untuk mengembangkan dan memperoleh
semula dengan cepat bakat dari Malaysia dalam sains
hayat dan bioteknologi dan untuk meningkatkan
inisiatif sektor pendidikan dan swasta.
|
|