Utusan Malaysia, May 27, 2008
Biotech Sasar 70
syarikat dapat status BioNexus
KUALA LUMPUR 26 Mei – BiotechCorp menyasarkan
sekurang–kurangnya 70 syarikat mendapat status
BioNexus pada akhir tahun ini.
Status BioNexus akan melayakkan sesebuah syarikat
mendapat keistimewaan yang terkandung dalam Bil
Jaminan BioNexus, seperti kebebasan pemilikan,
kebebasan untuk mendapatkan sumber dana di peringkat
global, membawa pekerja berpengetahuan dan
berkelayakan bagi insentif kompetitif dan bantuan
lain.
Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Iskandar
Mizal Mahmood berkata, setakat ini terdapat 56 buah
syarikat yang telah mendapat status BioNexus, yang
mana 14 daripadanya mempunyai sebahagian pembiayaan
asing manakala empat merupakan milik penuh pelabur
asing.
“Daripada 56 syarikat itu, 15 terlibat dalam sektor
pertanian,” katanya kepada pemberita selepas
melancarkan The Biotech Review 2005 – 2007 di sini
hari ini.
Sementara itu, Iskandar Mizal berkata, kerajaan
memperuntukkan RM2 billion untuk sektor bioteknologi
dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK–9) dalam
usahanya melengkapkan pembiayaan sektor swasta bagi
menggalakan bioteknologi.
Peruntukan itu meningkat jika berbanding dengan
hanya RM574 juta yang diperuntukan sepanjang
Rancangan Malaysia Kelapan (RMK–8) pada tahun 2001,
tambahnya.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM463 juta
diperuntukan untuk penyelidikan dan pembangunan
(R&D) bioteknologi dan pengkomersialan, RM100 juta
untuk pembangunan perniagaan dan RM928 juta lagi
untuk infrastruktur bioteknologi.
Menurut beliau, syarikatnya (BiotechCorp) telah
mendapat peruntukan sebanyak RM300 juta dalam
perkembangan bioteknologi.
Dari jumlah peruntukan tersebut, RM100 juta kami
memperuntukan geran pengkomersialan, RM100 juta
untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), RM50 juta
untuk pembangunan keusahawanan dan RM50 juta lagi
untuk teknologi maklumat.
“Setakat ini, kami telah menggunakan 40 peratus
daripada peruntukan itu bagi tujuan berkenaan,”
jelasnya. |
|