Back to Media Room
 
Berita Harian, 26 Mac 2008

Penggunaan genomic pacu industri bioteknologi

Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) semalam menganjurkan Siri Penceramah Terkemuka dalam usahanya memacu pertumbuhan industri bioteknologi tempatan terutama dalam bidang penjagaan kesihatan.

Dalam siri itu sebuah syarikat berstatus BioNexus, Malaysian Genomics Resource Centre Sdn Bhd (MGRC), membawa pakar dalam bidang genomic iaitu Pengarah Bersama Washington University Genome Sequencing Centre (WUGSC) Dr Elaine Mardis untuk menyampaikan ceramah berkaitan teknologi DNA. Genomic adalah kajian mendalam mengenai teknologi DNA dan penggunaannya dalam melawan penyakit kritikal seperti barah.

Ketua Eksekutif BiotechCorp Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata penggunaan genomic dalam industri bioteknologi tempatan penting kerana pelbagai manfaat boleh diperoleh menerusinya.

“Bidang ini boleh dimanfaatkan dalam meningkatkan mutu hidup individu malah pada masa sama mampu meningkatkan pencapaian saintifik serta nilai industri bioteknologi tempatan,” katanya pada taklimat media Siri Penceramah Terkemuka di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama Pengurus Besar MGRC Dr Arif Anwar, Pengarah Urusan MGRC Robert Hercus dan Mardis.

Iskandar Mizal berkata kerjasama dijalin antara MGRC dan WUGSC adalah model yang patut dicontohi dan dipelajari syarikat berstatus BioNexus dalam usaha membawa industri bioteknologi tempatan ke peringkat dunia.

“Menerusi kerjasama berterusan dengan organisasi global seperti ini, BiotechCorp yakin syarikat BioNexus tempatan mampu menjadi contoh dalam industri bioteknologi tempatan,” katanya.

Sehingga akhir Januari lalu, ada 51 syarikat berstatus BioNexus membabitkan pelaburan kira-kira RM 1 bilion. Daripada jumlah itu, 22 syarikat terbabit dalam bidang penjagaan kesihatan.

BiotechCorp kini sedang menimbangkan permohonan beberapa syarikat dalam industri bioteknologi untuk diberikan Status BioNexus dengan sebahagian daripadanya terbabit dalam bidang penjagaan kesihatan.

MGRC dan WUGSC masing-masing bekerjasama sebagai penyelidik perintis dalam aplikasi teknologi DNA baru bagi menyelesaikan pelbagai kajian mengenai penyakit kritikal. Baru-baru ini MGRC menyelesaikan satu kajian berskala besar membabitkan bldang genomic dengan rakan kongsi di Amerika Syarikat (AS) dan hasil kajian itu bakal disiarkan ke seluruh dunia akhir tahun ini.

Sementara itu, Hercus berkata dalam usaha menuju ke depan, MGRC merancang menggunakan pengalamannya menerusi bidang itu bagi kajian penyakit barah di Malaysia dan analisis mengenai tumbuhan daripada hutan di negara ini.
Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer