Back to Media Room
 
Berita Harian, 22 February 2008

BiotechCorp yakin capai 70 syarikat BioNexus

MALAYSIAN Biotechnology Corporation (BiotechCorp), yakin sasaran untuk mencapai 70 syarikat berstatus BioNexus pada akhir tahun ini mampu dicapai susulan perkembangan yang menggalakkan jumlah syarikat yang mendapat kelulusan berkenaan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata bulan lalu saja sebanyak sembilan syarikat bioteknologi dianugerahkan status BioNexus menjadikan sejumlah 51 syarikat sudah menerima status berkenaan setakat ini dengan jumlah pelaburan lebih RM1 billon.

Katanya, sejak Dasar Biotek Negara dilancarkan pada 2005, banyak kemajuan dicapai dalam bidang bioteknologi Negara, ini termasuk pemilikan lesen eksklusif dalam bidang bioteknologi di seluruh dunia, selain pertambahan bilangan syarikat BioNexus.

Beliau berkata BiotechCorp kini giat menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk dari luar negara dalam usaha menambah bilangan syarikat berstatus BioNexus.

“Kami sedang berusaha mencari rakan kongsi dari Korea Selatan yang dianggap antara negara maju dalam bidang bioteknologi yang mana kami harap sekurang-kurangnya sebuah syarikat dari negara berkenaan mendapat status BioNexus tahun ini.” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perkongsian Perniagaan Bio Malaysia-Korea 2008.

BiotechCorp, yang ditubuhkan pada Mei 2005, adalah agensi utama bagi pembangunan industri bioteknologi Malaysia yang meluluskan permohonan mendapatkan status BioNexus.

Pemberian status BioNexus akan menjadi pemangkin industri bagi memudahkan pelaburan dalam syarikat bioteknologi, menggalakkan syarikat tempatan melabur dalam bioteknologi serta mengkomersialkan harta intelek dalam bidang itu.

Iskandar Mizal berkata, Korea Selatan menjadi tumpuan BiotechCorp untuk menjalin kerjasama kerana negara itu mencatat banyak pembangunan dan pencapaian dalam bidang bioteknologi sejak memberi tumpuan terhadap bidang itu pada 1983.

Katanya, model pembangunan bioteknologi Korea Selatan adalah satu daripada model antarabangsa yang akan dijadikan penanda aras kepada negara ini.
Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer