Berita Harian, 20 Jun 2008
Firma India mahu labur
RM450j
Vivo Bio Tech tubuh kemudahan
bioteknologi bersepadu pasar produk bioterapeutik
VIVO Bio Tech Ltd dari India akan melabur RM450 juta
untuk menubuhkan kemudahan bioteknologi bersepadu di
Melaka bagi memasarkan bioterapeutik secara
komersial.
Bagi tujuan itu, Vivo Bio Tech menubuhkan sebuah
syarikat usaha sama, Vivo Bio Tech (Malaysia) Sdn
Bhd dengan dua syarikat tempatan, iaitu Melaka
Biotech Holdings Sdn Bhd dan Vanguard Creative
Technologies Sdn Bhd.
Penyedia perkhidmatan perkilangan dan penyelidikan
kontrak itu akan memegang 51 peratus kepentingan
dalam usaha sama itu, sementara Melaka Biotech 20
peratus dan baki 29 peratus dipegang oleh Vanguard
Creative Technologies.
Majlis meterai perjanjian usaha sama antara tiga
syarikat itu disempurnakan pada Konvensyen Bio
Antarabangsa 2008 di San Diego, semalam.
Ia disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri
Mohamad Ali Rustam dan Menteri Sains, Teknologi dan
Inovasi, Datuk Maximus J.Ongkili. Turut hadir Ketua
Eksekutif Malaysian Biotechnology Corp (BiotechCorp),
Datuk Iskandar Mizal Mahmood
Pengerusi Vivo Bio Tech, Vishwanath Komplella,
berkata kemudahan itu dijangka memulakan operasi
pada 2010.
Beliau berkata, ia akan dilengkapi kemudahan haiwan,
kemudahan primate, kemudahan canine dan kemudahan
cGMP.
"Pada peringkat permulaan, kemudahan cGMP akan dapat
menghasilkan 300 bebuli cecair seminit dan 300
picagari cecair seminit," katanya.
Komplella berkata, Melaka dipilih sebagai lokasi
bagi kemudahan itu berikutan kedudukannya yang
hampir dengan dua lapangan terbang utama iaitu
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan
Terbang Changi bagi memudahkan pengangkutan.
"Kami mengendalikan sel hidup, dan sel ini perlu
dihantar dengan cepat," katanya.
Beliau percaya mengendalikan kemudahan di Melaka
akan menghasilkan kecekapan kos.
"Kami boleh mengembangkan kemudahan kami di sini.
Saya tidak pasti kami boleh membesarkan kemudahan
kami dengan sebegini murah di tempat lain," katanya.
Sementara itu, Iskandar Mizal berkata, projek itu
pastinya akan membawa faedah besar kepada Malaysia
dalam bidang perubatan terutama dalam
mengkomersilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D)
sains hayat.
"Ia akan menyumbang kepada usaha membangunkan
Malaysia sebagai hab bioteknologi dari segi
pelaburan antarabangsa, menambah bilangan pekerja
berpengetahuan dan membina kepakaran dalam penemuan
dan pembangunan ubat," katanya.
Bio San Diego yang berlangsung selama empat hari
mulai Selasa itu, menarik lebih 20,000 peserta dari
70 negara dan menampilkan 2,200 syarikat
bioteknologi terkemuka dari seluruh dunia. – Bernama
|
|