Utusan Malaysia, June 19, 2008
BiotechCorp tarik
pelaburan RM1 bilion
Daripada Lukman Ismail
(yang sedang mengikuti Persidangan Antarabangsa
Bioteknologi 2008 di San Diego, California)
SAN DIEGO, California 18 Jun - Perbadanan
Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) berjaya menarik
pelaburan sebanyak RM1 bilion melalui lima syarikat
asing yang akan melabur dalam bidang bioteknologi di
Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Iskandar
Mizal Mahmood berkata, jumlah pelaburan melalui lima
perjanjian persefahaman itu dijangka dapat diraih
dalam tempoh tiga tahun mulai tahun ini sehingga
2011.
Menurut beliau, lima syarikat asing itu,
masing-masing dari Amerika Syarikat (AS), Korea,
Itali, Perancis dan India akan menjalinkan kerjasama
dengan pihaknya dan syarikat berstatus BioNexus
tempatan.
“Kerjasama yang dijalin antara BiotechCorp dan
syarikat BioNexus dengan pelabur asing berkenaan
adalah bagi pengkomersialan produk–produk
bioteknologi. Tumpuan adalah dalam bidang
agroteknologi, kesihatan dan industri,” katanya di
sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia
sempena Persidangan Antarabangsa Bioteknologi (BIO
2008) yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen
San Diego bermula semalam hingga Jumaat ini.
Iskandar berkata, perjanjian persefahaman merupakan
antara BiotechCorp. dan Trusgen dari AS serta
BiotechCorp dengan Insect Biotech Co. Ltd dari
Korea.
Manakala perjanjian syarikat berstatus BioNexus pula
adalah antara Abcar Asia dan Abcar Perancis, Success
Nexus Sdn. Bhd. dan Merloni Pregotti (Itali) serta
Budi BioFuels Sdn. Bhd. dan Pure Vision Technology
dari AS.
Semua perjanjian persefahaman tersebut akan
ditandatangani esok sempena persidangan tersebut.
“Ini adalah hasil penglibatan Malaysia dalam BIO
sepanjang tiga tahun lalu yang memberi tumpuan untuk
memperkenalkan diri di mata dunia.
“Hari ini ramai yang sudah mengenali kami dan
hasilnya terbentuk perjanjian–perjanjian
persefahaman seperti ini,” katanya.
Mengenai syarikat berstatus BioNexus, beliau berkata,
pada masa kini terdapat 42 syarikat berstatus
sedemikian dan pihaknya menyasarkan sejumlah 120
syarikat mencapai Status BioNexus menjelang akhir
tahun ini.
|
|