Berita Harian, 19 Jun 2008
BiotechCorp meterai
janji niaga RM1b
Oleh Ahmad Fiesal Othman
MALAYSIAN Biotechnology Corporation (BiotechCorp)
memeterai beberapa perjanjian bagi projek
bioteknologi yang akan membawa masuk pelaburan
bernilai kira-kira RM1 bilion ke negara ini bermula
tahun ini sehingga 2011.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood,
berkata projek itu akan mengukuhkan lagi kerjasama
antara Malaysia dengan rakan antarabangsa dari
pasaran utama bioteknologi di Amerika Syarikat (AS),
Perancis, Itali, Korea dan India.
Beliau berkata, selain pelaburan, faedah yang bakal
diraih daripada janji niaga itu turut meliputi aspek
penting dalam meningkatkan penggunaan dan tahap
teknologi serta memperluaskan lagi himpunan pekerja
mahir dalam sektor bioteknologi di negara ini.
"Janji niaga itu dan pelaksanaannya akan mengukuhkan
lagi tiga fokus utama BiotechCorp untuk tahun ini
iaitu memantapkan lagi pembinaan nilai dalam
membangunkan perniagaan bioteknologi,
memperbanyakkan pemerolehan teknologi yang paling
memberi manfaat kepada industri bioteknologi serta
meningkatkan proses secara dalaman dan tahap
perkhidmatan luaran," katanya dalam kenyataan
semalam.
Perjanjian terbabit dimeterai sempena Persidangan
Bio Antarabangsa 2008 San Diego (BIO San Diego) di
AS.
BIO San Diego ialah persidangan bioteknologi
terbesar dan paling pelbagai di dunia yang disertai
lebih 20,000 peserta dari 70 negara dan menampilkan
2,200 syarikat bioteknologi utama dari seluruh dunia.
Iskandar Mizal berkata, penyertaan Malaysia di BIO
San Diego adalah sangat bertepatan kerana
persidangan itu menyediakan platform berterusan ke
arah menjalin pelbagai kerjasama serta untuk membina
perancangan mantap untuk aliran pelaburan ke
Malaysia.
Beliau berkata, dalam konteks lebih luas, minat
syarikat AS terhadap Malaysia terus menjadikan
negara itu rakan dagangan dan pasaran eksport
terbesar negara, manakala AS juga terus menjadi
pengimport keempat terbesar untuk Malaysia selepas
Jepun, China dan Singapura.
"Setakat akhir tahun lalu, pelaburan terkumpul dari
syarikat AS di Malaysia adalah sebanyak AS$11.3
bilion (RM57 bilion) terutama dalam produk
elektronik dan elektrik, petroleum, produk petro
kimia dan kimia serta mesin," katanya.
|
|