Utusan Malaysia, April 18, 2008
Melatih bakal pakar
bioteknologi
Oleh: KHAIRUNNISA SULAIMAN
BILA ditanya mengenai kerjaya, sudah tentu ibu bapa
banyak mempengaruhi fikiran anak-anak mereka. Paling
banyak jawapan yang diterima mungkin doktor,
jurutera, peguam, guru atau jururawat dan jarang
yang mahu menjadi saintis. Itu mungkin dulu, tapi
sekarang tidak lagi. Ini kerana saintis terutama
bioteknologi menjadi bidang kerja pilihan di masa
hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology
Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp), Datuk Iskandar
Mizal Mahmood berkata, modal insan dalam bidang
bioteknologi amat diperlukan memandangkan industri
berkenaan semakin berkembang maju.
“Kami di BiotechCorp menjalankan pelbagai aktiviti
bagi menarik minat masyarakat dalam membangunkan
bidang bioteknologi,” katanya semasa ditemui di
pejabatnya di Kuala Lumpur, baru – baru ini. Beliau
menambah ini bersesuaian dengan Dasar Bioteknologi
Kebangsaan yang dilancarkan pada 2005.
Dalam masa yang singkat iaitu tidak sampai tiga
tahun, industri bioteknologi membangun dengan amat
pesat dengan terdapat 51 syarikat bertaraf BioNexus.
Syarikat bertaraf BioNexus adalah syarikat yang
berdaya maju dari segi pelaburan yang diluluskan
mencecah RM1 bilion. Daripada 51 buah syarikat
berkenaan, ia berjaya menjana lebih 1,000 peluang
pekerjaan kepada graduan yang melebihi jangkaan awal.
Iskandar menambah tahun ini dijangka syarikat
bertaraf BioNexus akan bertambah sehingga 70 buah
dan secara tidak langsung memerlukan lebih banyak
modal insan.
“Persoalannya bagaimana untuk menampung keperluan
syarikat Bionexus yang semakin berkembang ini?” soal
beliau.
Iskandar berkata, graduan lepasan institut pengajian
tinggi (IPT) awam atau swasta kadang kala tidak
selaras dengan kehendak industri. Justeru pihaknya
mengambil langkah melaksanakan Biotechnology
Entrepreneurship Special Training (BeST) bagi
melatih graduan agai sesuai dengan keperluan
industri.
Bagi suku ke tiga 2007, BeST telah melatih tiga
kumpulan dengan jumlah 250 orang menerusi latihan
dalam kelas, makmal dan industri.
“Latihan yang berjalan selama tiga bulan akan
memberikan keyakinan bukan saja kepada graduan
tetapi juga pihak industri mendapatkan pekeria yang
cemerlang.
“Biasanya graduan graduan ini akan terus diambil
bekerja oleh industri di mana mereka menjalankan
latihan sebelum menamatkan kursus,” katanya.
Iskandar menambah, pengambilan pelatih program BeST
disiarkan di akhbar–akhbar arus perdana dan laman
web BiotechCorp. Pembinaan modal insan yang lebih
terlatih pula mula dilaksanakan tahun lalu menerusi
kerjasama dengan gabungan tiga buah universiti di
California, Amerika Syarikat (AS) iaitu QB3.
“Dalam program berkenaan BiotechCorp menghantar 20
peserta menghadiri kursus insentif selama satu
minggu di sana,” katanya.
Program berkenaan disasarkan kepada modal insan
professional di dalam sesebuah syarikat BioNexus
seperti ketua pegawai eksekutif dan pegawai
eksekutif.
Program berkenaan mendapatkan sambutan yang
menggalakkan dan menarik minat industri bioteknologi
bagi mendapatkan kepakaran, keusahawanan, kewangan
dan pembiayaan.
Bagi syarikat BioNexus yang tidak berpeluang
mengikuti program QB3, BiotechCorp menjemput
pakar–pakar bioteknologi dari luar negara bagi
memberikan kursus insentif bagi menjayakan industri
bioteknologi Negara.
“Program Eminent Speaker ini telah dijalankan bukan
saja memberikan kursus tetapi menarik minat pelajar
dalam bidang bioteknologi,” katanya lagi.
Selain itu terdapat juga program Executive in
Residence di mana pakar bioteknologi terkemuka dunia
dibawa ke mari sebagai mentor kepada syarikat
BioNexus terpilih negara ini.
“Individu berkenaan akan meneliti pelan perniagaan,
beri nasihat, pandangan serta membuka peluang bagi
pasaran yang lebih luas ke peringkat global,”
katanya.
Iskandar berkata BiotechCorp menyasarkan modal insan
berpengetahuan daripada 40,000 kepada 80,000
menjelang 2011 menerusi pelbagai program yang
diadakan.
|
|