Berita Harian, August 16, 2008
Status BioNexus untuk
49 lagi syarikat
SEBANYAK 49 lagi syarikat berasaskan bioteknologi di
seluruh negara dijangka memperoleh Status BioNexus
menjelang hujung tahun ini, menjadikan jumlahnya
120, kata Naib Presiden Kanan Malaysian
Biotechnology Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp),
Izhar Hifnei Ismail.
Beliau berkata, 71 syarikat memperoleh status itu
dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.3 bilion.
Katanya, pihaknya yakin bilangan syarikat
bioteknologi memohon untuk mendapat status berkenaan
akan terus meningkat berikutan kesedaran terhadap
pentingnya pengiktirafan BioNexus bagi mengembangkan
pasaran produk mereka.
“Menjelang akhir tahun ini, kami menjangkakan
syarikat Status BioNexus akan meningkat kepada 120
tetapi ia bergantung kepada pematuhan syarat
ditetapkan.
“Antaranya, syarikat terbabit perlu mengeluarkan
produk atau perkhidmatan berasaskan sains atau yang
membabitkan aktiviti pertanian, selain memiliki
bilangan pekerja berpengetahuan yang ditetapkan,”
katanya pada sidang media sempena pameran Minggu
Sains, Teknologi dan Inovasi peringkat negeri
anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti)
di Kota Kinabalu, semalam.
Izhar berkata, syarikat bioteknologi dalam bidang
penjagaan kesihatan paling banyak menerima Status
BioNexus iaitu 30, diikuti pertanian (23), industri
(16) dan bioinformatik (dua).
“Pecahan mengikut negeri menunjukkan syarikat di
Selangor mendahului dengan 26 syarikat diikuti Kuala
Lumpur (23) dan Johor (enam). Negeri lain memiliki
antara satu hingga tiga syarikat,” katanya.
|
|