Berita Harian, June 12, 2008
BiotechCorp rancang
beli 3 lagi lesen
Syarikat berunding dengan pihak
dari Eropah AS dan Australia bagi peroleh platform
bioteknologi
Oleh Shahrizan Salian
MALAYSIAN Biotechnology Corporation (BiotechCorp)
akan memuktamadkan rundingan untuk membeli tiga lagi
lesen bioteknologi sebelum akhir tahun ini, sebagai
tambahan kepada satu lesen yang dimilikinya setakat
ini.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood,
berkata syarikat itu diperuntukkan RM51 juta dalam
bentuk geran pembelian lesen bioteknologi dan sudah
menggunakan sebanyak RM3 juta.
“Kami sedang berunding dengan beberapa pihak dari
Eropah, Amerika Syarikat dan Australia bagi membeli
platform (lesen) bioteknologi.
“Rundingan mungkin selesai pada suku ketiga atau
keempat tahun ini,” katanya pada sidang media
selepas melancarkan laporan tahunan BiotechCorp 2007
di Kuala Lumpur, semalam.
Iskandar Mizal berkata, BiotechCorp masih memiliki
RM48 juta peruntukan dalam geran pembelian lesen
bioteknologi bagi mengukuhkan industri berkenaan di
Malaysia.
“Tiga lagi platform yang sedang dalam rundingan
ialah dalam sektor penjagaan kesihatan, pertanian
dan perindustrian,” katanya tanpa menyatakan jumlah
pelaburan sebenar bagi pembelian ketiga tiga lesen
bioteknologi berkenaan.
Akhir tahun lalu BiotechCorp membeli lesen eksklusif
platform nanoteknologi daripada syarikat
berpangkalan di Perancis, Nanobiotix bernilai RM3
juta.
Pembelian lesen berkenaan adalah yang pertama
dilaksanakan BiotechCorp sejak penubuhannya pada Mei
2005 sebagai salah satu pelan tindakan di bawah
Dasar Bioteknologi Kebangsaan.
Menerusi pembelian lesen itu, beberapa aplikasi
dalam bidang penjagaan kesihatan, persekitaran
pertanian, makanan dan kosmetik boleh dibangunkan
menggunakan platform teknologi dimiliki Nanobiotix.
Iskandar Mizal berkata, pembelian lesen bioteknologi
membolehkan pelbagai aplikasi berkaitan industri
dapat dibangunkan sambil menjimatkan kos
penyelidikan dan pembangunan.
“Kami perlu bertindak pantas (membeli lesen
bioteknologi) kerana hanya tinggal beberapa tahun
lagi untuk memasuki fasa komersial dalam Pelan Induk
Bioteknologi,” katanya.
Sementara itu, mengulas laporan tahunan BiotechCorp
2007, Iskandar Mizal berkata, pihaknya bergiat aktif
untuk terus memajukan industri bioteknologi di
negara ini.
“Ini dibuktikan menerusi laporan tahunan 2007 yang
menunjukkan bilangan syarikat yang diberikan Status
BioNexus, jumlah keseluruhan pelaburan BioNexus dan
penyertaan antarabangsa yang mencapai sasaran
ditetapkan,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 56 syarikat diberikan Status
BioNexus yang mana 23 daripadanya adalah dalam
sektor penjagaan kesihatan, 17 pertanian, 14
perindustrian dan dua bioinformatik rnembabitkan
pelaburan berjumlah RM1.3 bilion.
Tahun lalu, sebanyak 42 syarikat diberikan Status
BioNexus dengan pelaburan mencecah RM1.08 bilion.
|
|