Utusan Malaysia, June 12, 2008
BiotechCorp lulus
pelaburan RM1.08b
KUALA LUMPUR 11 Jun – Perbadanan Bioteknologi
Malaysia (BiotechCorp) telah meluluskan pelaburan
sebanyak RM1.08 bilion kepada 42 rangkaian syarikat
BioNexus pada masa ini.
Status BioNexus dianugerahkan kepada syarikat
bioteknologi berkelayakan, menjadikan mereka layak
untuk memperoleh insentif di bawah rang
undang-undang jaminan BioNexus.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi
Malaysia (BiotechCorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood
berkata, jumlah itu termasuk pembangunan syarikat
bioteknologi di Amerika Syarikat, Taiwan dan India.
“Semua syarikat ini terlibat dalam rangkaian
aktiviti penting merangkumi bidang penjagaan
kesihatan, pertanian, industri dan bioinformatik.
“Secara tidak langsung ia dapat memberi lebih 1,000
peluang pekerjaan kepada negara,” katanya kepada
sidang akhbar selepas membentangkan laporan tahunan
BiotechCorp di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari
ini.
Sementara itu, Iskandar berkata, laporan tahunan ini
merupakan laporan terbaik semenjak daripada
penubuhannya pada tahun 2005.
“Kami telah memperolehi keuntungan bersih sebanyak
RM360,877 berbanding tahun sebelumnya iaitu defisit
sebanyak RM24,629,083,” katanya.
Jelasnya, BiotechCorp berjaya membangunkan
perniagaan bioteknologi, menyediakan kemudahan
kewangan dan pengunaan sumber kewangan serta
pengurusan yang efisien.
“Sasaran kami pada tahun ini ialah untuk
membangunkan nilai ciptaan, mempertingkatkan
perolehan teknologi serta menambah baik proses dan
perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya. |
|