Utusan
Malaysia, 11 March 2008
Firma BioNexus
meningkat 70 buah akhir 2008
KUALA LUMPUR 10 Mac - Bilangan syarikat berstatus
BioNexus dijangka meningkat kepada 70 buah menjelang
akhir tahun ini daripada 42 buah pada tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi
Malaysia (BiotechCorp) Datuk Iskandar Mizal Mahmood
berkata sembilan syarikat baru mengambil bahagian
dalam industri itu pada Januari tahun ini menjadikan
kesemua syarikat yang berstatus BioNexus sekarang
ini berjumlah 51 buah.
“Setakat ini kami melihat banyak perkembangan dalam
industri. Kami nampak banyak jalinan kerjasama
antarabangsa ke negara ini selepas Dasar
Bioteknologi Negara diumumkan. Jika anda melihat
kepada trend kami agak yakin bahawa kami berupaya
mencapai sasaran,” katanya kepada pemberita di sini.
Status BioNexus dianugerahkan kepada syarikat
bioteknologi berkelayakan, menjadikan mereka layak
untuk memperoleh insentif di bawah Rang Undang
Undang Jaminan BioNexus.
Ketika ditanya sama ada perubahan terkini yang
berLaku dalam politik akan melahirkan sebarang impak
kepada pelaburan dalam industri bioteknologi
Iskandar Mizal berkata, “Saya tidak lihat sebarang
isu lahir darinya. Setakat ini tiada terdapat
sebarang impak signifikan ke atas industri.”
BiotechCorp, yang ditubuhkan dalam 2005, merupakan
agensi pembangunan utama bagi industri bioteknologi
Negara.
Iskandar Mizal berkata, Malaysian Genomics Resource
Sdn Bhd MGRC akan membawa Washington University
Genome Sequencing Centre (WUGSC) ke Malaysia pada 25
Mac sebagai sebahagian dari acara Siri Penceramah
Terkemuka.
WUGSC merupakan salah satu pusat susunan DNA (asid
deoksiribonukleik) yang dikenali kerana penyelidikan
tercanggih mengenai penafsiran tanda genetik
pelbagai organisma dan juga penyakit yang kritikal
seperti kanser katanya.
Institut berkenaan juga merupakan pelanggan kepada
syarikat induk MGRC, Synamatix Sdn Bhd, syarikat
perintis dalam bidang bioinformatik di Malaysia.
“Hasrat Siri Penceramah Terkemuka diadakan adalah
untuk menyediakan peluang kepada peserta dalam
industri bioteknologi di Malaysia untuk mendengar
daripada mereka, berbincang dan bertukar-tukar
pandangan tentang trend utama dan perkembangan
daripada perkara penting yang menjadi topik oleh
pakar dalam bioteknologi,” kata Iskandar Mizal.
Beliau berkata, acara itu juga mengenengahkan
rangkaian dan tahap kepakaran dan keupayaan yang
dibangunkan dalam syarikat BioNexus melalui
perkongsian dan kerjasama yang berjaya di peringkat
antarabangsa. |
|