Back to Media Room
 
Berita Harian, 11 March 2008

Ceramah tingkat hasil bioteknologi

MALAYSIAN Biotechnology Corporation (BiotechCorp) akan melancarkan ‘Siri Penceramah Utama - Barah Genomic’ pada 25 Mac ini, sebagai sebahagian usahanya untuk memacu pertumbuhan satu daripada komponen utama industri bioteknologi di negara ini.

Ketua Eksekutifnya Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata tujuan utama penganjuran siri berkenaan adalah untuk menyediakan peluang bertukar pendapat mengenai arah aliran serta perkembangan Industri.

“Ini akan membantu peserta bioteknologi tempatan meraih hasil lebih baik dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di masa depan,” katanya pada taklimat media mengenai siri berkenaan di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Malaysian Genomics Resource Centre Sdn Bhd (MGRC) yang juga syarikat berstatus BioNexus, Dr Arif Anwar.

Pada taklimat media itu BiotechCorp turut mengumumkan MGRC akan membawa Washington University Genomic Sequencing Centre (WUGSC) ke Malaysia sebagai sebahagian daripada pengisian siri itu.

WUGS adalah antara pusat penyelidikan utama dunia dalam bidang penyakit kritikal seperti barah.

Iskandar berkata, siri itu juga akan menampilkan kepakaran dan keupayaan yang diperoleh syarikat berstatus BioNexus menerusi kerjasama serta perkongsian pada peringkat antarabangsa.

“Usaha syarikat BioNexus dalam menjalin pelbagai kerjasama pada peringkat antarabangsa berjaya mengukuhkan perkembangan industri bioteknologi di negara ini” katanya.

Beliau memberi contoh MGRC yang baru ditubuhkan tujuh tahun lalu berjaya meraih peningkatan ketara apabila menyertai rangkaian BioNexus dan terbabit dalam kerjasama dengan WUGSC.

MGRC dan WUGSC adalah penyelidik perintis dalam aplikasi teknologi DNA baru bagi menyelesaikan pelbagai kajian mengenai penyakit kritikal.

Sementara itu, Iskandar berkata, sembilan lagi syarikat diberikan status BioNexus Januari lalu sekaligus meletakkan BiotechCorp pada landasan tepat untuk mencapai sasarannya tahun ini.

“Bagaimanapun kami, akan menumpu kepada kualiti syarikat yang diberikan status itu berbanding kuantiti kerana mahu membawa keupayaan tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

BiotechCorp mensasar 70 syarikat mencapai status BioNexus sebelum akhir tahun ini. Kini ada 51 syarikat mencapai status berkenaan.

Pemberian status BioNexus akan memudahkan pelaburan dalam syarikat bioteknologi menggalakkan syarikat tempatan melabur dalam bioteknologi serta mengkomersialkan harta intelek dalam bidang itu.
Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer