Utusan
Malaysia, 9 May 2008
Krisis Makanan Ancam
Dunia
Oleh Laupa Junus
KENYATAANNYA, dunia kini sedang mengalami krisis
terburuk sejak 30 tahun lalu dan wajar diberi
perhatian.
Meskipun segelintir pihak menganggapnya sebagai satu
propaganda tetapi hakikat yang perlu diterima ialah
langkah–langkah segera perlu diambil untuk mendepani
apa yang dialami kini.
Banyak faktor mengesahkan berlakunya krisis
meruncing ini, antaranya kejadian bencana alam dan
kenaikan harga bahan api khususnya diesel yang
mendorong kepada peningkatan harga makanan yang kini
dikatakan peningkatan harga makanan yang kini
dikatakan mencecah sehingga 40 peratus.
Kenyataan Program Makanan Sedunia(WFP) bahawa 30
buah negara berisiko besar menghadapi masalah
kenaikan harga makanan antaranya padi, gandum dan
jagung, kini dianggap sebagai ‘tsunami senyap’ yang
mengancam kira–kira 100 juta penduduk dunia pada
masa ini.
Pengarah Eksekutif WFP, Josette Sheeran dilaporkan
berkata, ketika ini secara purata berlaku kenaikan
beras sehingga dua kali ganda di seluruh dunia.
Pengarah WFP Asia, Anthony Banbury pula menyatakan,
berlaku kenaikan harga gandum sehingga 75 peratus
berbanding 60 peratus tahun lalu.
“Biasanya manusia mati kerana penyakit tetapi badan
mereka akan lemah kerana kelaparan,” ujarnya
menceritakan apa yang berlaku di Afghanistan.
Pada masa sama, Bank Dunia melaporkan bahawa harga
makanan telah meningkat 83 peratus sejak tiga tahun
lepas.
Indonesia dilaporkan mengkaji semula bajet
tahunannya bagi mengatasi masalah sama tetapi nasib
malang menimpa Perdana Menteri Haiti, Jasquea
Endouard Alexis yang terpaksa hilang jawatan ekoran
masalah itu.
Beberapa pemimpin dan agensi pertubuhan antarabangsa
juga menyatakan keprihatinan dengan isu yang melanda
ketika ini.
Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Haruhiko
Kuroda membayangkan kebanyakkan rakyat Asia yang
jumlahnya dua pertiga daripada penduduk dunia
diancam kebuluran dan kemiskinan.
Dan angka yang lebih menyedihkan yang diketahui
sejak sekian lama, 1.7 bilion penduduk dunia
berpendapatan kurang RM6 sehari.
Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa – Bangsa
Bersatu (PBB), Kofi Annan pula menjangka lebih
banyak protes berkenaan krisis makanan akan berlaku
di negara–negara membangun.
Mengaitkan faktor bencana alam sehingga kepada
kekurangan bekalan makanan yang boleh mendorong
kepada ketidakstabilan politik di negara–negara
terancam dengan masalah itu mungkin agak terlmpau
tetapi tidak mustahil.
Dengan harga minyak mentah yang semakin melambung,
tidak dapat tidak, kos pengangkutan akan meningkat
dan kos pengeluaran makanan juga mengalami nasib
serupa.
Justeru, krisis yang dialami kini tidak wajar
dikaitkan dengan propaganda politik atau
menakut–nakutkan masyarakat awam kerana ada
sebab-sebab yang mewajarkan krisis itu berlaku.
Malaysia telah mengambil langkah wajar dengan
pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi, menerusi peruntukan RM4 bilion untuk
menangani isu bekalan makanan dan harga makanan
negara di bawah dasar Jaminan Bekalan Makanan
Negara.
Malah tanpa mengambil kira andaian krisis tersebut,
dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang
dilancarkan pada 2006, kerajaan memperuntukan RM6.9
juta di bawah sektor agro makanan yang mewujudkan
beberapa projek mega pertanian seperti Taman Kekal
Pengeluaran Makanan (TKPM) Zon Industi Akuakultur,
Ladang Kontrak, Pembangunan Usahawan Industri Asas
Tani dan Pusat Fidlot Nasional.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani baru
baru ini telah mengenal pasti tujuh langkah
perlaksanaan bagi peruntukan yang baru diluluskan
itu iaitu meningkatkan pengeluaran beras,
pengwujudan stok penimbal beras, pemberian insentif
kepada pengusaha–pengusaha pertanian dan mewujudkan
program peningkatan pengeluaran dan produktiviti
bagi sektor tanaman, ternakan dan pertanian.
Langkah lain termasuk mengukuhkan Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan pasaran
dan pengagihan hasil–hasil pertanian, melaksanakan
program Bumi Hijau dan mengurus kawasan terbiar
untuk meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti.
Sementara itu, menurut pemimpin agensi bioteknologi
tempatan, Malaysia dianggap bertuah kerana memiliki
sumber semula jadi komoditi dan mempunyai asas
pertanian yang kukuh untuk dijana bagi menghasilkan
makanan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan
Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), Datuk Iskandar
Mizal Mahmood, syarikat bioteknologi tempatan
sewajarnya mengambil peluang untuk memanfaatkan
teknologi sedia ada bagi menghasilkan lebih bayak
produk makanan.
“Sama ada kita menggunakan kepakaran tempatan sedia
ada atau mendapatkan lesen teknologi luar, semuanya
boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan makanan,”
ujarnya.
Beliau berkata, teknik kultur tisu, molecular
assisted selection (MAS) dan penggunaan bioreactor
bukan lagi baru dalam bidang bioteknologi sebaliknya
telah digunakan untuk meningkatkan produktiviti
makanan.
Beliau berkata, bioteknologi sepatutnya dilihat
sebagai alat yang boleh dimanfaatkan ketika dunia
menghadapi krisis makanan kerana pemilihan baka atau
benih yang dihasilkan menerusi bioteknologi
mempunyai ciri–ciri lebih baik sama ada cepat matang,
hasil lebih tinggi dan tahan penyakit.
Iskandar berkata, teknologi kini dapat membantu
pengeluaran makanan khususnya yang asas seperti padi,
gandum dan jagung, meskipun wujud prejudis
daripadanya.
Isu–isu seperti organisme terubah suai secara
genetik (GMO) menjadikan manusia ragu–ragu terhadap
teknologi tersebut tetapi MAS boleh menjadi
alternatif, katanya.
MAS yang juga dikenali sebagai marker assisted
selection atau marker aided selection merupakan satu
proses satunya yang berasaskan variasi DNA atau RNA
digunakan untuk mengenal pasti genetic atau ciri –ciri
yang diperlukan dalam tumbuhan atau haiwan.
Antara ciri –ciri tersebut ialah produktiviti
kerintangan terhadap penyakit dan toleransi kepada
tekanan secara kualiti.
MAS hanya melibatkan teknologi hingga ke peringkat
molekul sahaja dan tidak ke peringkat pengubahsuaian
genetik.
Namun pada akhirnya pengguna juga perlu sedar
makanan yang dihasilkan daripada GMO seperti jagung,
soya dan tomato serta beras berada di pasaran sejak
sekian lama.
Oleh itu mereka perlu ada kesedaran tentang ilmu
saintifik supaya dapat menerima makanan berteknologi
tinggi ini kerana ia dapat dihasilkan dengan
meminimumkan penggunaan tanah.
Menurut Iskandar Mizal, kawasan penanaman semakin
berkurang sedangkan penduduk dunia yang kini
berjumlah 6.6 bilion akan terus meningkat kepada
sembilan billion menjelang 2050.
Justeru, sebagai alternatif, bioteknologi boleh
meningkatakan pengeluaran makanan secara berganda
untuk keperluan manusia.
Di Malaysia katanya, agensi penyelidikan dan
universiti tempatan seperti Institut Penyelidikan
dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti
Putra Malaysia sebagai contoh boleh melipatgandakan
usaha menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang
mampu melipatgandakan pengeluaran produk makanan.
Krisis makanan ini sepatutnya dianggap sebagai wake
up call kepada tiga pihak utama iaitu pemerintah
yang merencanakan dasar, penyelidik yang menjalankan
tugas dan pengguna yang perlu sedar bahawa sudah
sampai masanya teknologi diberi tempat sewajarnya
sebagai menjana kesejahteraan sosial.
Dalam pada masa sibuk melihat ke angkasa lepas untuk
bersaing, berlumba menghasilkan senjata, mereka lupa
bahawa teknologi penghasilan makanan lebih penting
berbanding semua itu.
Memperkasa teknologi pertanian merupakan
tanggungjawab bersama, sama ada mereka yang
menghasilkannya atau yang menerima manfaat
daripadanya.
Pengguna sebagai golongan yang menerima manfaat
perlu yakin dengan teknologi tersebut supaya
penciptanya akan terus berusaha memperbaiki untuk
memastikan penduduk dunia terus selamat.
|
|