Kosmo,
April 8, 2008
Negara kurang pakar
bioteknologi
Oleh JULIA ISMAIL
KUALA LUMPUR - Malaysia hanya mempunyai 3,400 orang
pakar penyelidik dalam bidang bioteknologi dan
kekurangan itu begitu ketara berbanding di Singapura
yang memiliki 16,700 orang tenaga pakar.
Keadaan itu berlaku disebabkan kurangnya syarikat
bioteknologi di negara ini yang menjalankan aktiviti
kajian dalam bidang tersebut sedangkan negara
mempunyai 14 pusat penyelidikan berbanding Singapura
hanya enam pusat.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif
BiotechCorp, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, pelbagai
langkah telah diambil oleh kerajaan untuk memajukan
negara ini dalam bidang tersebut kerana ia semakin
mendapat permintaan dan pulangan tinggi.
Sebagai contoh katanya, Malaysia mempunyai potensi
besar dalam bidang bioteknologi terutama dalam
kajian dan terapi ‘stem cell’.
“Kajian menunjukkan bahawa negara mempunyai pasaran
yang luas dalam bidang kajian dan terapi stem cell
iaitu berjumlah AS$157 juta (RM500.6 juta) dan
meningkat 12 peratus setiap tahun.
“Oleh itu, kita telah memulakan langkah awal dan
mensasarkan seramai 40,000 pekerja berpengetahuan
dalam bidang bioteknologi menjelang 2011 dan 80,000
menjelang 2015,” katanya pada pelancaran program
Stempeutics Stem Cells Operation and Profesional
Excellence (SCOPE) di sini semalam.
Beliau memberitahu, program SCOPE yang melibatkan 15
pelatih dari Stempeutics akan dilatih selama sebulan
di Bangalore, India bertujuan untuk mempromosikan
aktiviti kajian ‘stem cell’ dan terapi di negara ini.
Ini adalah berikutan pembukaan sebuah makmal
penyelidikan Stempeutics yang merupakan anak
syarikat Manipal Education and Medical Group (MEMG)
di Taman Teknologi Malaysia (TPM) yang bakal
beroperasi Mei ini.
Iskandar memberitahu penghantaran 15 pelatih ke
India itu menunjukkan permulaan Negara dalam
melangkah ke arah pengkomersialan bioteknologi pada
tahun 2011. |
|