Back to Media Room
 

Kosmo, Oktober 19, 2007

BeST lahirkan 200 pakar bioteknologi setahun

KUALA LUMPUR – Graduan lulusan bidang bioteknologi yang belum mendapat pekerjaan kini boleh mencuba nasib mengikuti program Biotechnology Graduate Special Training (BeST).

Program anjuran Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (Biotechcorp) itu menyediakan 200 peluang pekerjaan setahun dan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web www. biotechcorp. com.my.

Menurut Pengerusi Biotechcorp, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, peserta yang berjaya akan diberi latihan intensif berbentuk teori dan amali selama enam bulan dan setelah tamat mereka akan dibekalkan kepada syarikat berkaitan, katanya pada sidang akhbar mengumumkan program Global Bio-Enterpreneurship Biotechcorp-QB3 di sini semalam.

Beliau berkata, pengambilan kumpulan perintis seramai 200 pelatih telah dilakukan awal bulan ini.

Iskandar berkata, bidang bioteknologi dijangkakan mampu mewujudkan sehingga 280,000 peluang pekerjaan dan menyumbang lima peratus kepada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2020.

Mengenai program Global Bio-Enterpreneurship Biotechcorp-QB3, sekumpulan 20 peserta yang terdiri daripada wakil syarikat, ahli akademik, pegawai kerajaan, industri kecil dan sederhana dan syarikat senarai awam akan di beri pendedahan mengenai bidang bioteknologi di San Francisco, Amerika Syarikat mulai 21 hingga 26 Oktober ini.

“Program peringkat ketiga ini hasil kerjasama dengan The Institute for Quantitative Biosciences, Universiti California dan kami menyalurkan peruntukan RM1 juta serta berharap dapat menyediakan modul untuk peringkat selanjutnya,” katanya.

Iskandar berkata, Biotechcorp menyasarkan dapat melatih 240 usahawan dan syarikat bioteknologi dalam tempoh tiga tahun bagi meningkat kebolehan pembangunan sumber manusia.

Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer