Berita Harian, Oktober 19, 2007
50 syarikat bertaraf
BioNexus akhir tahun. Pemberian Status ikut daya
saing peserta bioteknologi.
SYARIKAT bioteknologi berstatus BioNexus dijangka
meningkat kepada 50 menjelang akhir tahun ini
daripada 39 yang beroperasi sekarang.
Ketua Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation
Sdn Bhd (BiotechCorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood,
berkata agensi itu sedang meneliti permohonan bagi
tujuan itu meliputi syarikat bioteknologi dalam
pelbagai bidang pengkhususan yang berlainan.
“BiotechCorp akan memastikan syarikat yang diberikan
status BioNexus itu terdiri daripada syarikat
bermutu dan mempunyai daya saing tinggi,” katanya
pada sidang media mengumumkan pelancaran program
keusahawanan, Global Bio-Entrepreneurship Programme
(QB3) di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir Naib Presiden Pembangunan Modal Insan
BiotechCorp, Yazid Hamid.
Pemberian status BioNexus akan menjadi pemangkin
industri bagi memudahkan pelaburan dalam syarikat
bioteknologi, menggalakkan syarikat tempatan melabur
dalam bioteknologi serta mengkomersialkan harta
intelek dalam bidang itu.
Iskandar berkata, syarikat Bio-Nexus yang beroperasi
ketika ini terdiri daripada syarikat dalam bidang
pertanian, penjagaan kesihatan dan industri
bioteknologi.
“Ini menunjukkan bahawa syariks BioNexus sedia ada
tidak hanya memfokus dalam satu bidang semata-mata,
tetapi meliputi keseluruhan pengkhususan
bioteknologi yang dikomersialkan,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan pelaburan bagi 39
syarikat BioNexus sedia ada itu sudah mencecah
RM1bilion dan dijangka meningkat seiring
perkembangan pesat bidang itu selain penyertaan
lebih banyak syarikat tempatan.
“Bagaimanapun pemberian status BioNexus akan dinilai
bagi melihat kualiti dan sejauh mana kemampuan
perancangan perniagaan mereka selain memastikan
syarikat yang mempunyai status itu mampu menjadi
peserta global dalam industri ini,” katanya.
Mengenai program QB3, Yazid berkata, kumpulan
pertama seramai 20 peserta akan mengikuti kursus
selama kira kira seminggu di Institut Kajian
Kuantitatif Penyelidikan Bio-perubatan California
dalam bidang penyelidikan, modal insan dan
pembangunan keusahawan bioteknologi di institut
berkenaan.
Peserta terdiri daripada wakil syarikat BioNexus,
universiti, agensi kerajaan, institusi pembangunan
bioteknologi dan usahawan bioteknologi.
Yazid berkata, program QB3 adalah satu daripada tiga
program kerjasama antara institut bioteknologi
terkemuka Amerika Syarikat itu.
Dua program lain iaitu penyelidikan dan latihan
lepasan ijazah akan dimulakan akhir tahun ini,
manakala program latihan pasca doktor falsafah akan
dimulakan tahun depan.
Beliau berkata, ketiga-tiga program itu bertujuan
melahirkan lebih ramai usahawan bioteknologi bagi
menyokong pertumbuhan industri itu, membekalkan
tenaga kerja mahir dan mewujudkan peluang kerja
kepada graduan bioteknologi.
“Program berkenaan juga bermatlamat melahirkan
sekurang- kurangnya 240 usahawan atau syarikat
bioteknologi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan
datang,” katanya.
|