Back to Media Room
 

Berita Harian, Oktober 10, 2007

BiotechCorp rancang lahir 240 usahawan bioteknologi. Program mentor sedia latihan guna dana disediakan dalam RMK-9

BIOTECHNOLOGY Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp) merancang membangunkan sekurang kurangnya 240 usahawan atau syarikat bioteknologi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata usaha itu akan dilaksanakan menerusi Program Mentoring/Executive -In-Residence di bawah rangka kerja program pembangunan usahawan bioteknologi, menggunakan dana yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9).

Beliau berkata, di bawah program itu, setiap mentor akan melatih dan membimbing lima individu atau syarikat selama setahun untuk membantu mereka menubuhkan perniagaan dalam bidang bioteknologi.

“Menerusi program itu, kami berharap sekurang kurangnya 10 peratus daripada pelatih mampu menubuhkan perniagaan berjaya,” katanya pada majlis pelancaran program Mentoring/Executive itu di Kuala Lumpur semalam.

Sempena pelancaran itu, BiotechCorp turut memperkenalkan mentor pertamanya untuk program berkenaan iaitu Robert H Mayer, pesara syarikat Danisco Amerika Syarikat yang akan memberikan bimbingan dalam bidang kimia khusus.

Iskandar Mizal berkata, program mentor itu adalah untuk mewujudkan program pembangunan khusus bagi usahawan menerusi pelantikan sebuah panel yang dianggotai mentor bertauliah untuk menyediakan syarikat bioteknologi individu atau syarikat baru yang terbabit dalam aktiviti bioteknologi dengan khidmat nasihat dalam operasi, kewangan dan pemasaran.

Beliau berkata, program itu terbuka kepada syarikat yang terbabit dalam bidang sains-hayat atau penyedia perkhidmatan sokongan berkaitan, yang berhasrat untuk menubuhkan atau melebarkan operasi dalam bidang yang diberi tumpuan oleh BiotechCorp dan mereka yang memerlukan bantuan mentor termasuk syarikat yang sudah mendapat status BioNexus.

Katanya, perkhidmatan yang diberikan menerusi program itu termasuk mana-mana kombinasi antara perkhidmatan pakar profesional dan bimbingan kepada peserta Program Latihan Usahawan, pakar profesional dan nasihat perniagaan kepada syarikat yang baru menerokai bidang bioteknologi atau mentor eksekutif kepada Ketua Eksekutif syarikat bioteknologi atau Usahawan Bio.

“BiotechCorp bercadang melantik sekurang kurangnya seorang lagi mentor untuk program ini sebelum akhir tahun.

“Setakat ini kami telah mengenal pasti seorang mentor sesuai yang mana matlamat BiotechCorp ialah untuk mendapatkan mentor dalam bidang penjagaan kesihatan atau pertanian,” katanya.

Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer