Back to Media Room
 

Harian Metro, Oktober 08, 2007

15 lagi firma Status BioNexus. Dorong syarikat bioteknologi tambah pelaburan komersial harta intelek

BIOTECHNOLOGY Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp) menjangkakan kira kira 15 lagi syarikat tempatan dalam industri bioteknologi negara akan mendapat status BioNexus menjelang akhir tahun ini berbanding 39 syarikat ketika ini.

Pemberian Status BioNexus itu akan menjadi pemangkin industri bagi memudahkan pelaburan dalam syarikat bioteknologi menggalakkan syarikat tempatan melabur dalam bioteknologi serta mengkomersialkan harta intelek dalam bidang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata ia perkembangan baik dalam industri bioteknologi Negara sejak Polisi Bioteknologi Kebangsaan diperkenalkan pada 2006.

“Keseluruhan pelaburan bagi 39 syarikat BioNexus itu mencecah RM1 bilion dan dijangka meningkat seiring perkembangan pesat bidang ini selain penyertaan lebih banyak syarikat tempatan.

“Bagaimanapun pemberian status akan dinilai oleh kami bagi melihat kualiti dan sejauh mana kemampuan perancangan perniagaan mereka selain memastikan syarikat yang mempunyai status itu mampu menjadi peserta global dalam industri ini,” katanya pada sidang media di majlis taklimat Kerjasama Perniagaan Bioteknologi Malaysia-Kesatuan Eropah 2007 (EUM-BIO 2007) di Kuala Lumpur baru baru ini.

Hadir sama Naib Presiden, Kumpulan Industri Bagi Teknologi Tmggi Malaysia (Might) Asmadi Md Said dan Pengarah Program Perwakilan Suruhanjaya Eropah Ke Malaysia, Geert Anckaert.

Sehingga kini, industri bioteknologi negara menunjukkan perkembangan pesat bukan saja di peringkat tempatan malah antarabangsa.

Sementara itu Might turut menjalankan kerjasama dengan Pertubuhan Bioindustri Eropah, Belgium (EuropaBio) dan Industri BioFarmasi Belanda (BioFarmind) menganjurkan EUM-BIO yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade.

Ia membabitkan pelbagai aktiviti termasuk pameran, seminar, persidangan antarabangsa, lawatan industri dan padanan perniagaan yang dijangka disertai kira-kira 150 syarikat tempatan serta Eropah dari lebih 50 negara.

EUM-BIO diperkenalkan pertama kali tahun ini sebagai platform penting kepada syarikat bioteknologi tempatan meneroka pelbagai peluang kerjasama, pembangunan dan penyelidikan (R&D), pemindahan teknologi, eksport dan import, pelaburan modal dan kontrak pengilangan dengan syarikat bioteknologi dari negara asing.

Iskandar Mizal berkata, program itu mensasarkan kepada penyertaan daripada syarikat bioteknologi tempatan dan asing yang berkecimpung dengan bidang berasaskan bioteknologi meliputi pertanian kesihatan perkilangan dan maklumat.

Program itu turut di sokong sepenuhnya BiotechCorp dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida).

 

Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer