Utusan
Malaysia, April 8, 2008
15 rakyat Malaysia
jalani latihan sel stem
KUALA LUMPUR 7 April - Syarikat Stempeutics Research
Malaysia yang berstatus BioNexus, akan menghantar
kumpulan pertama terdiri daripada 15 pekerja
Malaysia ke Bangalore, India, pada bulan ini bagi
menjalani latihan makmal dan teori mengenai sel -
sel stem.
Mereka akan dilatih di bawah program Kecemerlangan
Operasi dan Profesional Sel Stem (SCOPE) bagi
mengendalikan makmal sel stem Stempeutics di Taman
Teknologi Malaysia yang akan beroperasi pada bulan
depan.
Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp)
ialah penyokong utama program SCOPE, yang disifatkan
oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Iskandar
Mizal Mahmood sebagai langkah penting untuk bergerak
ke hadapan bagi pembangunan industri bioteknologi di
Malaysia.
“Ini adalah penting kerana Malaysia telah dikenal
pasti sebagai pasaran yang mempunyai potensi cerah
dalam penyelidikan dan terapi sel stem yang
dianggarkan bernilai AS$157 juta (RM499.26 juta)
dengan pertumbuhan tahun-atas-tahun sebanyak 12
peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas
pelancaran program latihan SCOPE di sini hari ini.
Iskandar berkata, program SCOPE oleh Stempeutics
adalah sebahagian daripada usaha melahirkan bakat
dalam bidang sel stem dengan fokus kepada
penyelidikan, terapeutik dan terapi dalam bidang
perubatan regeneratif.
”Ia adalah langkah penting dengan pelbagai faedah –
meningkatkan pelaburan asing langsung sehingga RM20
juta ke Malaysia, kekayaan sumber dalam penyelidikan
dan kepakaran antarabangsa dan meningkatkan akses
dan pendedahan bagi bakat Malaysia dalam
penyelidikan sel stem,” kata beliau.
Stempeutics merupakan anak syarikat berpangkalan di
India iaitu Manipal Education & Medical Group,
ditubuhkan untuk mempromosi aktiviti aktiviti sel
stem di Malaysia.
Presiden Stempeutics, B.N Manohar berkata ketika
kumpulan pertama menjalani latihan sel stem di
Bangalore, kumpulan–kumpulan akan datang akan
dilatih di kemudahan Stempeutics di Kuala Lumpur.
“Kami yakin latihan khusus ini akan membantu
melahirkan bakat-bakat cemerlang di Malaysia dalam
bidang bioteknologi,” kata beliau. |
|