Back to Media Room
 
Berita Harian, 4 April 2008

BiotechCorp komersial produk mulai 2011


Oleh Hizral Tazzif Hisham

Industri bioteknologi perlu 25 syarikat untuk jana hasil RM80 bilion

MALAYSIAN Biotechnology Corp (BiotechCorp), syarikat yang ditubuhkan kerajaan bagi menerajui industri bioteknologi di negara ini, yakin akan dapat mencapai sasaran untuk memulakan proses mengkomersialkan produk yang dihasilkan pada 2011.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata untuk mencapai sasaran berkenaan, industri perlu memiliki 25 syarikat bioteknologi, yang dijangka menyumbang pendapatan RM80 bilion kepada negara.

Katanya, turut diperlukan bagi mencapai sasaran berkenaan ialah 80,000 pekerja berpengetahuan yang terbabit dalam industri berkenaan.

Beliau berkata, pada masa sama BiotechCorp juga akan membeli syarikat yang memiliki teknologi diperlukan negara untuk mempercepatkan proses mengkomersialkan produk ke pasaran.

"Misalnya, tahun lalu, BiotechCorp sudah memperoleh lesen eksklusif daripada Nanobiotix dari Perancis untuk teknologi nano," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke BiotechCorp di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, timbalannya, Fadillah Yusof; Pengerusi BiotechCorp, Tan Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus; dan Ketua Eksekutif BiotechCorp, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

BiotechCorp ditubuhkan pada 2005 untuk memajukan industri bioteknologi negara sejajar Dasar Bioteknologi Kebangsaan yang dilaksanakan mengikut jangka masa 2005 hingga 2020.

Antara strategi pelaksanaan akan dijalankan ialah membangunkan keupayaan negara dalam bidang bioteknologi mulai 2005 hingga 2010, mempercepatkan proses mengkomersilkan projek penyelidikan dan pembangunan daripada 2010 hingga 2015 dan membangunkan industri bioteknologi negara berdaya saing serta berdaya maju pada 2020.

Maximus berkata, sektor bioteknologi dijangka menyumbang empat peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan pelaburan sebanyak RM9 bilion pada 2011.

Beliau berkata, cabaran utama sekarang ialah memastikan penyertaan menyeluruh semua pihak sama ada industri, universiti awam dan institut penyelidikan dalam membangunkan industri bioteknologi.

Sementara itu, Iskandar Mizal, berkata BiotechCorp berada pada landasan betul untuk mencapai sasaran seperti ditetapkan Dasar Bioteknologi Kebangsaan dan Pelan Induk Bioteknologi Negara.

"Amat penting pencapaian sekarang ditingkatkan lagi untuk mencapai sasaran 2011. Antara inisiatif penting ialah Program Rakan BioNexus yang merangkaikan syarikat bioteknologi berstatus BioNexus kepada 15 universiti dan 11 institut penyelidikan di negara ini," katanya.

Beliau berkata, untuk membina tenaga kerja berpengetahuan sebanyak 25 peratus daripada 206 graduan sudah diambil bekerja.
Home | Biotech In Malaysia | About Us | One Stop Centre | The BioNexus Network | Grants & Programmes | Events |
Media Room
| Contact Us | Useful Links | Disclaimer