KUALA LUMPUR 17 Nov. -Kerajaan merancang untuk menubuhkan Pusat Inovasi Kebangsaan (MyNIC) tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, pada peringkat ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang melakukan kajian mendalam berhubung penubuhan pusat itu.
Beliau berkata, hasil kajian akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi bagi mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri sebelum MyNIC ditubuhkan.
Menurutnya, MyNIC akan menumpukan usaha-usaha inovasi dalam semua bidang dengan keutamaan kepada teknologi komunikasi maklumat dan bidang bioteknologi.
"Semasa mesyuarat Majlis Inovasi Kebangsaan ke-4 baru-baru ini, satu cadangan diusulkan untuk membangunkan MyNIC dan saya telah meminta MOSTI untuk melakukan kajian menyeluruh bagi melaksanakan MyNIC.
"Bioteknologi dan ICT akan merangkumi komponen terpenting MyNIC dan ini saya jangka akan terus mewujudkan persekitaran yang menjurus kepada pembangunan dalam industri yang sedang pesat berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2009 di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili, Penasihat Sains Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Ahmad
Zaharudin Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Pada sidang akhbar selepas itu, Najib melahirkan rasa bangga beliau terhadap kejayaan pameran BioMalaysia kali ini yang mencerminkan industri bioteknologi negara sedang berkembang pesat.
"Saya lihat begitu banyak pembangunan dan penyelidikan yang dilakukan sama ada oleh kerajaan atau swasta termasuk universiti yang mempunyai nilai komersial," katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan Malaysia mampu muncul sebagai hab kepada pembangunan bioteknologi di rantau ini.
"Apa yang saya lihat hari ini memberi saya lebih keyakinan matlamat itu mampu dicapai’' katanya.
Ditanya mengenai usaha Malaysia mendapatkan kepakaran dari luar untuk berkhidmat di negara ini, beliau berkata, insentif-insentif baru perlu diperkenalkan bagi menarik golongan berkenaan.
Beliau mengakuii beberapa percubaan sebelum ini untuk mendapatkan golongan bijak pandai termasuk yang berasal dari Malaysia kembali berkhidmat di negara ini telah gagal.
Sehubungan itu beliau berkata, insentif yang pernah diberikan sebelum ini akan diperluaskan lagi dengan kemudahan-kemudahan tambahan seperti peluang melakukan penyelidikan penting, geran penyelidikan dan penurunan cukai pendapatan di Wilayah Pembangunan Iskandar untuk kumpulan berkenaan.

Najib Tun Razak diiringi Dr. Maximus J. Ongkili menyatakan sesuatu kepada Pengarah Novartis International, Alexander F Jetzer Chung (kanan) selepas majlis perasmian Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2009 di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Dr. Ahmad Zaharudin Idrus (dua dari kanan) dan Iskandar Mizal Mahmood (kiri).